Headlines News :
Home » » Kecelaruan tidur undang penyakit

Kecelaruan tidur undang penyakit

Written By Unknown on Sunday, February 10, 2013 | 2:27 PM



Puas cuba menutup mata, memusing kiri kanan dan membaca buku, namun mata Rahmat masih tidak mengantuk. Meskipun jam 2 pagi, masih tiada tanda dia mahu tidur.
Pelbagai alternatif dicuba bagi mengubati penyakit gangguan tidur dialaminya, tapi hingga kini masih tiada perubahan.
Akibatnya, keesokan pagi Rahmat akan mengalami masalah kurang tidur, pening dan kurang bertenaga akibat tidak cukup tidur.
Kes kecelaruan tidur bukan hanya menjadi masalah buat Rahmat, malah majoriti rakyat Malaysia. Kaji selidik terbaru dikendalikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia terhadap 289 pemandu bas mendapati, 44.3 peratus daripada mereka mengalami masalah kecelaruan tidur.
Kemalangan jalan raya antara impak utama berpunca daripada Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu laluan udara dari hidung dan mulut tersekat.


Kecelaruan tidur lain seperti insomnia (sukar tidur), parasomnia (berjalan waktu tidur, bangun dan menangis pada waktu malam, terutama dalam kalangan kanak- kanak) dan narkolepsi (kecenderungan untuk tidur di dalam persekitaran sepi) turut mengganggu fungsi fizikal, mental dan emosi yang normal, menyebabkan orang ramai kurang produktif di tempat kerja, mudah marah, tertekan dan mengantuk ketika memandu.
Menyedari keadaan membimbangkan ini, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) dan Philips Malaysia berganding bahu menandatangani memorandum membuka pusat kecemerlangan pakar bagi kecelaruan tidur di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif UMSC, Prof Datuk Amin Jalaludin berkata, ramai kurang mengambil berat mengenai peranan dan kepentingan tidur terhadap tubuh dan kehidupan seseorang.
“Kita sering lupa untuk memperakui peranan tidur pada waktu malam yang sempurna dan kesannya terhadap kesihatan diri.
“Penyelidikan menunjukkan kualiti dan jumlah tidur boleh memberi kesan kepada kesihatan, keselamatan dan produktiviti.
“Kecelaruan tidur paling biasa ditemui seperti OSA mempunyai kaitan rapat dengan pelbagai penyakit lain.
“Misalnya, pesakit OSA pada tahap sederhana hingga teruk akan mengalami peningkatan risiko tekanan darah tinggi sebanyak dua kali ganda dan tiga kali ganda peningkatan risiko untuk mengalami serangan jantung.
“Kecelaruan tidur masalah yang jelas merentasi pelbagai bidang perubatan. “Saya percaya Pusat Kajian dan Kecekapan Tidur Asean (ASRCC) yang baru dibangunkan ini dapat membantu hospital di seluruh rantau ini mencapai tahap baru dalam memberi pemahaman dan kecekapan untuk melakukan diagnosis dan pengurusan kecelaruan tidur,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.
Tidur antara gaya hidup sihat paling kurang didiagnosis dan diperbincangkan. Dianggarkan kelaziman Sleep Disordered Breathing (SDB) iaitu masalah pernafasan ketika tidur ialah sebanyak 24 peratus di kalangan lelaki dan sembilan peratus bagi wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun.
Peningkatan obesiti di Asia, terutama di Malaysia, Filipina dan Singapura, turut mengakibatkan peningkatan kelaziman OSA yang lebih tinggi, iaitu kecelaruan paling lazim dikaitkan dengan SDB.

Sebanyak 15.1 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia atau 2.5 juta orang dewasa dikategorikan sebagai obes. Walaupun OSA sudah lebih 30 tahun diperakui secara klinikal, perkembangan kesedaran mengenai penyakit ini di luar bidang perubatan tidur adalah perlahan.
Di Asia, kelaziman OSA dalam kalangan lelaki pertengahan usia adalah 4.1 hingga 7.5 peratus manakala bagi wanita pertengahan usia, 2.1 hingga 3.2 peratus.
Selain obesiti, struktur tulang wajah juga penyumbang utama kepada OSA di kalangan orang Asia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Philips Malaysia, Naeem Shahab Khan berkata, usaha sama itu diharap dapat membantu memperbaiki kehidupan pesakit yang mengalami masalah kecelaruan tidur.
“Selaku peneraju global di dalam bidang penjagaan kesihatan, Philips sentiasa mencari penyelesaian dan rakan usaha sama bertujuan mempertingkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup orang ramai.
“Asean ASRCC yang baru dibangunkan ini contoh terbaik kerjasama yang dapat membantu masyarakat memperbaiki taraf kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, ASRCC berhasrat meluaskan jaringan bagi melaksanakan aktiviti saringan dan pengurusan OSA kepada pemandu kenderaan awam dan akan bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk mewajibkan semua pemandu menjalani saringan OSA.

Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger