KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyertai lebih 10,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan majlis Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baru Cina di padang Flat Sri Johor, Cheras di sini.
Mengenakan baju tradisional masyarakat Cina berwarna merah pulasan, Najib yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba ke majlis itu pada kira-kira 9.45 pagi.
Ketibaan mereka disambut Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek serta barisan kepimpinan parti itu yang juga berpakaian tradisional merah serta tarian Singa dan sorakan keterujaan hadirin melihat kelibat Perdana Menteri yang turut diiringi dua anaknya Nor Ashman dan Nooryana Najwa.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Maglin Dennis D'Cruz serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Maglin Dennis D'Cruz serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Sebaik tiba, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Muhyiddin merangkap Timbalan Pengerusi BN menaiki sebuah bas khas yang mempunyai bumbung terbuka, untuk memotong riben sebagai simbolik merasmikan bas khas MCA, yang terpampang slogan 'Stability Above Chaos'.
Penganjuran Rumah Terbuka MCA pada tahun ini di luar ibu pejabat parti itu di Wisma MCA, Jalan Ampang, bagi membolehkan lebih ramai tetamu berkongsi kemeriahan perayaan itu.
Najib serta semua pemimpin yang berpakaian berwarna merah, kemudian diiringi ke pentas, untuk menggaul yee sang, makanan tradisi ketika sambutan perayaan itu, yang melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.
Yee Sang merupakan sejenis salad ikan mentah gaya Chaozhou, biasanya terdiri daripada potongan daging ikan mentah (khususnya salmon), yang bercampur dengan cebisan sayur-sayuran dan beraneka sos serta perasa.
Ketika ditemui pemberita, Najib berkata penganjuran majlis rumah terbuka itu membawa pengertian bahawa BN adalah sebuah parti yang mendahulukan rakyat.
Beliau berkata Tahun Ular yang membawa signifikan besar dalam kalendar masyarakat kaum Cina di Malaysia diharap akan membawa banyak rahmat untuk rakyat dan negara ini kerana kaum Cina percaya ia akan membawa banyak kejayaan dan keuntungan.
"Kejayaan ini dapat dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat dan kaum di Malaysia melalui konsep rumah terbuka seperti yang dianjurkan oleh MCA dan BN," katanya.
Setelah meluangkan masa lebih satu jam, Najib beredar daripada majlis, sambil bersalaman dengan orang ramai, yang mengerumuni beliau sambil memegang poster 'I Love PM'.
Perdana Menteri turut menurunkan tanda tangan di bas khas tersebut sebelum pulang.
Para tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Cina dan 1Malaysia, selain menikmati pelbagai juadah seperti sate, laksa, apam balik, teh cina, aneka kuih raya dan limau mandarin.
Orang ramai turut diberi angpau, sampul merah atau paket merah, yang diisi dengan coklat berbentuk syiling emas (lebih besar daripada 50 sen). - Bernama