Populariti penyerang Manchester United, Javier Hernandez di negara kelahirannya, Mexico begitu luar biasa sehinggakan kadar jenayah di negara tersebut menurun setiap kali dia turun beraksi.
Juga tidak diketahui apakah sebabnya ramai wanita akan pergi bersalin apabila pemain yang juga dikenali sebagai Chicharito itu bermain.
Ketua polis Mexico City, Jorge Carlos Martinez berkata: "Jenayah seperti curi kereta, samun dan rompak menurun.
"Nampaknya penjenayah pun tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan wira kami bermain. Juga meningkat ialah kadar kelahiran!".
Oleh itu, Martinez berharap pengurus United, Alex Ferguson akan menggunakan penyerang berusia 24 tahun itu secara lebih kerap memandangkan berleluasanya kes jenayah sejak kebelakangan ini.
"Kami perlukan apa jua pertolongan yang kami boleh dapat termasuk Alex," katanya.
Peluang Hernandez untuk bermain secara kerap musim ini terjejas sejak ketibaan Robin Van Persie.
Ini kerana Ferguson lebih gemar menggandingkan penyerang Belanda itu dengan Wayne Rooney. Bagaimanapun, Hernandez tetap mampu menyumbangkan gol sekalipun turun selaku pemain gantian.
Dia menjaringkan sembilan gol melalui 16 penampilan dalam kesemua pertandingan setakat ini.
Mexico tidak asing lagi dengan aktiviti jenayah tidak terkawal dengan lebih 15,000 orang menjadi mangsa bunuh geng-geng dadahnya saban tahun.