STATUS hubungan mereka tidak jelas selepas hubungan mereka dilaporkan putus baru-baru ini.
Tetapi penyanyi Justin Bieber memuji bekas teman wanitanya, Selena Gomez dalam satu wawancara dengan Oprah Winfrey yang dirakam, bulan lalu.
“Dia adalah wanita berhati baik dan saya boleh bercerita apa saja dengannya,” katanya.
Untuk mengesahkan bahawa Selena adalah “teman wanitanya”, Bieber berkata, dia sentiasa memastikan mereka bersama ketika paparazzi mengambil gambar mereka.
“Saya tidak akan benarkan dia berpisah dari saya kerana saya tidak mahu dia terasa seolah-olah saya malu bersamanya,” katanya. “Sekiranya kami berjaya melepaskan diri, sekurang-kurangnya kami buatnya bersama.”
Bieber mengaku dia tidak dapat menahan diri daripada menunjukkan kasih sayangnya kepada Selena di hadapan orang ramai dan dia juga mendedahkan perkara paling romantik yang pernah dilakukan adalah mengadakan makan malam di tengah-tengah Staples Centre sambil menonton filem Titanic di layar perak.
Pasangan itu dikatakan berpisah awal bulan ini tetapi mereka dilihat bersama ketika hadir di parti Anugerah Muzik Amerika, minggu lalu.
Dia turut bimbang selepas Selena mendapat ancaman bunuh daripada peminatnya dan Bieber mengaku dia terpaksa berfikir panjang sebelum menguar-uarkan hubungan mereka.
“Saya sentiasa memikirkan peminat saya,” katanya. “Orang ramai akan berkata sesuatu yang teruk tetapi saya perlu bahagia. Saya tak boleh terus membujang.
Sekiranya saya boleh bersama semua orang, dengan peminat saya, pasti saya akan bersama mereka!” katanya.
Namun Oprah bertegas dengan bintang itu selepas dia mengaku untuk berkahwin apabila usianya 25 tahun dan meminta Bieber untuk memikirkan keputusannya itu.
“Saya rasa 25 tahun itu masih terlalu muda,” kata Oprah.
“Anda Oprah dan saya kata saya tidak patut berkahwin pada usia 25 tahun. Saya patut dengar nasihat anda,” kata Bieber. “Tunggu dan lihat saja sebab saya belum lagi mencecah usia itu.”
Bieber juga mengaku dia mahukan “anak yang ramai” walaupun dia belum bersedia menjadi seorang ayah. Tapi, bintang remaja itu mengaku, kadang-kadang dia terasa sunyi.
“Anda cuma rasa kadang-kadang anda mahukan seseorang di sisi anda,” katanya.
“Ada hari-hari yang saya jalani saya rasa seperti jantung saya sakit sangat, mungkin saya belum mampu menghadapinya lagi. Ada hari yang saya rasa sangat tertekan dan tak tahu bagaimana hendak menanganinya,” katanya.
Oprah jelas sekali seronok dapat duduk bersama bintang itu dan berkata, “Ini adalah wawancara paling hebat selepas Michael Jackson pada 1993.”
Mereka berdua kelihatan relaks sambil makan tengah hari iaitu kentang goreng dan salad di restoran kegemaran Oprah Ralph Lauren RL di Chicago, di mana ratu rancangan bual bicara itu menyoal Bieber dalam beberapa tajuk daripada kemahsyuran hingga keluarga dan peminat.