SIMPATI...Zulkifli (dua dari kiri) menghulurkan bungkusan makanan kepada mangsa sekitar Khan Younis, semalam.
Seorang pejuang Hamas, Shuhid Baseem sudah meninggal dunia lapan tahun lalu, namun dendam rejim Israel terhadapnya nyata belum berkesudahan apabila sebuah rumah dihuni 30 warisnya, dibedil hingga musnah sama sekali dalam kejadian pada tengah malam 21 November lalu.
Seorang ahli keluarga Shuhid, Zuhir Salim Gudiah, 55, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, rumah tiga tingkat didiami mereka di perkampungan Abasan Kabira, Khan Younis, di sini, dihujani lebih 30 roket Zionis hingga menghasilkan kesan lubang besar menyerupai kawah gunung berapi.
“Mujur kami semua selamat kerana melarikan diri dan bersembunyi di tempat selamat, 10 minit sebelum serangan,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, sebelum diserang, beberapa jet pejuang F-16 Zionis berlegar di ruang udara Gaza dan sejurus mereka melarikan diri puluhan roket dilancarkan ke arah rumah mereka, menghasilkan letupan kuat hingga menggoncang seluruh kampung.
“Letupan dahsyat itu mengakibatkan rumah batu tiga tingkat milik lima sekeluarga runtuh menyembah bumi.
“Kesan ledakan peluru roket terlalu kuat hingga membentuk lubang kawah sedalam 10 meter di tengah rumah runtuh,” katanya.
Zuhir Salim berkata, dia yakin serangan itu ada kaitan dengan dendam Israel terhadap Allahyarham Shuhid yang terkorban dalam satu kejadian pada 2004.
“Dalam kejadian itu sepasukan anggota tentera Zionis yang memburu Shuhid menceroboh masuk ke dalam kampung dan mengepung rumah Allahyarham.
“Mereka memaksa Shuhid menyerah diri, namun Shuhid enggan dan berlaku kejadian tembak-menembak selama kira-kira enam jam antara Shuhid dan kumpulan tentera Zionis.
“Shuhid yang lebih rela mati syahid meletupkan dirinya menggunakan bom dipasang pada tubuh. Tindakan itu menyebabkan dua tentera Israel mati dan lima lagi parah,” katanya. Menurutnya, tentera Israel berang dengan kejadian itu meletupkan rumah Shuhid sebelum beredar meninggalkan Tebing Gaza.
“Ternyata dendam Zionis terhadap Shuhid tidak pernah padam apabila mereka sekali lagi menyerang rumah kami 10 hari lalu untuk membunuh kami yang juga waris Shuhid.
“Kami kini hilang tempat tinggal dan terpaksa hidup merempat. Tiada satupun barangan sempat diselamatkan, namun kami tidak akan berpindah dan nekad membina semula hidup baru di tapak rumah runtuh ini,” kata Zuhir Salim.