Akibat tidak puas hati telefon bimbit anaknya hilang, seorang ibu bertindak ganas dengan membelasah rakan anaknya berusia 16 tahun, malah mangsa turut diaibkan di depan rumah wanita itu di Bandar Tasik Selatan, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa, pelajar perempuan tingkatan empat, menumpang di rumah rakannya pada malam 26 November lalu kerana sama-sama mengikuti kem akademik selama tiga hari bermula esoknya.
Sumber polis berkata, ketika mangsa menumpang di rumah itu, ibu rakannya melayan dia dengan baik dan keesokannya ketika bersiap untuk ke kem berkenaan, rakannya mengadu telefon bimbitnya hilang.
Katanya, selepas puas mencari di rumah, mereka membuat keputusan untuk ke kem dulu dengan dihantar ibu rakannya.
“Sekembali dari kem, mangsa dan rakannya sebaik sampai di rumah, wanita berkenaan menyoal mengenai telefon bimbit anaknya dan mangsa menyatakan tidak tahu apa-apa.
“Wanita berkenaan yang menyangka mangsa mencuri telefon bimbit anaknya tiba-tiba bertindak agresif apabila mula menampar sebelum mengugut mengupah orang untuk merogol mangsa,” katanya, semalam.
Katanya, rakan mangsa yang percaya mangsa tidak mencuri telefon bimbitnya cuba menolong menyelamatkannya daripada ibunya sebelum diselamatkan ibu saudara mangsa.