Kangar: “Selain ditetak menggunakan pisau dan diseret dalam keadaan telanjang, kepala saya juga dihentak dengan alu lesung,” Anira Aziz, 27, dibelasah suaminya yang berang selepas mendakwa dia ada hubungan sulit dengan lelaki lain.
Kejadian berlaku di rumah pasangan itu di Kampung Repoh, dekat sini, jam 3.45 pagi kelmarin.
Akibat kejadian itu, mangsa yang juga ibu kepada tiga anak perempuan dan masih berpantang selepas kelahiran anak bongsunya 42 hari lalu menerima lebih 10 jahitan di belakang badan dan kepala, selain lebam pada mata kirinya.
“Saya begitu malu dan hanya mampu menangis akibat menanggung kesakitan apabila diperlakukan dengan kejam oleh suami sendiri,” katanya.
Anira berkata, tidak cukup dengan diheret dan dibelasah, suaminya yang berusia 40-an turut membakar motosikal miliknya di depan rumah.