“InsyaALLAH pada satu hari saya akan pulang ke Malaysia dan berkongsi ilmu kepada anak tempatan yang bercita-cita untuk menjadi doktor."
Itu merupakan janji yang diungkapkan Nur Amalina Che Bakri, 25 yang pernah mencatat sejarah dengan mendapat kelulusan 17 A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada 2004 lalu.
Buat pertama kali, pelajar tahun akhir jurusan perubatan di Universiti Edinburgh, Scotland itu meluangkan masa kira-kira dua jam berkongsi pengalaman serta tips belajar bersama pelajar Kolej Perubatan Di Raja Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL RCMP), semalam.
"Ini merupakan kali pertama saya adakan sesi interaksi bersama mahasiswa di negara ini selepas lapan tahun melanjurkan pelajaran di luar negara.
"Tujuan utama saya pulang ke Malaysia adalah untuk memperbaharui visa pelajar. Kebetulan, Pengerusi UniKL RMCP, Datuk Dr Adham Baba tawarkan saya mengadakan sesi ini," katanya.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif UniKL RMCP, Datuk Mohamed Hisham Abd Ghani dan ibunya, Sabariah Hassan.
Tidak mahu melepaskan peluang, Nur Amalina berkata, sekurang-kurangnya sesi berkenaan membuka peluang untuknya menyumbang sesuatu kepada pelajar.
Menyentuh kontroversi yang melanda dirinya pada awal tahun ini, pemegang Ijazah Farmakologi itu menyatakan, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan terhadap pengajiannya.
"Mungkin ia salah satu dugaan serta cabaran yang perlu dilalui ketika belajar. Saya bernasib baik kerana keluarga dan rakan-rakan banyak menyokong serta membantu ketika dilanda kontroversi," katanya.-sinarharian