Headlines News :
Home » , , » UniMAP jalin kerjasama penyelidikan dengan Nihon Superior Co. Ltd

UniMAP jalin kerjasama penyelidikan dengan Nihon Superior Co. Ltd

Written By Unknown on Sunday, February 10, 2013 | 2:50 PM




KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjalin kerjasama penyelidikan dengan syarikat pengeluar bahan pateri terbesar di dunia yang berpangkalan di Osaka, Jepun Nihon Superior Co. Ltd bagi memperluaskan jaringan hubungan industri institusi itu. 


Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, UniMAP adalah universiti ketiga di dunia menjalin kerjasama dengan syarikat itu yang sebelum ini telah menjalin kerjasama dengan Imperial College, London dan Queensland University, Australia. 



Katanya, pemeteraian kerjasama itu diadakan pada akhir Januari lalu di Osaka 
sejajar dengan hasrat UniMAP untuk mengukuhkan kedudukan di persada antarabangsa sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan. 



Syarikat ternama itu memberi kepercayaan kepada kumpulan penyelidik 
bahan pembungkusan elektronik UniMAP di bawah Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) dengan memperuntukkan geran penyelidikan hampir RM500,000. 



"Ia merangkumi geran penyelidikan, pembekalan bahan mentah serta tajaan 
perjalanan bagi tujuan pengujian di makmal Penyelidikan dan Pembangunan Nihon Superior, Osaka serta beberapa perkara lain berkaitan penyelidikan untuk tempoh selama tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini. 



Nihon Superior mempunyai rangkaian kilang pengeluaran di seluruh dunia 
termasuk Malaysia, Thailand, Singapura, China, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah. 



Kamarudin berkata, hasil perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan Makmal Penyelidikan atas nama Nihon Superior di UniMAP selain program pertukaran penyelidik UniMAP-Nihon Superior dan pembekalan bahan mentah penyelidikan. 



Nihon Superior juga bersetuju menaja perjalanan bagi tujuan pengujian di 
makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) milik syarikat itu serta beberapa perkara lain berkaitan dengan penyelidikan. 



"Ini adalah permulaan yang cemerlang dalam penyelidikan di UniMAP pada 
tahun ini di mana UniMAP mensasarkan lebih banyak jalinan penyelidikan dengan industri sama ada dalam dan luar negara,” katanya. 



Kamarudin berkata, semasa di Osaka, delegasi UniMAP yang juga disertai 
penyelidik CEGeoGTech turut menyertai pameran Nanotech 2013 yang berlangsung di Big Sight, Tokyo pada 30 dan 31 Jan lalu. 



Menerusi pameran itu, para penyelidik berpeluang mengadakan perbincangan 
awal bagi menjalinkan hubungan dalam bidang penyelidikan teknologi hijau dengan beberapa institusi dan sektor industri di Jepun. 



Antaranya, National Institute for Materials Science (NIMS) dan National 
Institute of Advanced Industrial Science and Technlogy (AIST) di samping 
mengadakan perbincangan dengan Nanotechnology Business Creation Initiative (NBCI). - BERNAMA
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger