Headlines News :
Home » » 10 TIPS HADAPI KESESAKAN DI LEBUH RAYA

10 TIPS HADAPI KESESAKAN DI LEBUH RAYA

Written By Unknown on Tuesday, February 12, 2013 | 7:01 PM



Melekat di lebuh raya.  Itulah suasana kesesakan lebuh raya yang akan diwar-warkan buat masa ini.  Selebar-lebar lebuh raya yang terpampang di utara selatan, timur dan barat, masih tidak mampu untuk menampung jumlah kenderaan rakyat jelata pada satu-satu masa.  Apabila sudah terkandas, memang akan memakan masa yang lama untuk sampai ke destinasi.  Kebiasaan masa perjalanan hanya mengambil 3-4 jam.  Namun di kala ini jam perjalanan mampu menjangkau berbelas jam! 

Mengikut perkiraan keadaan semasa, permasalahan bermusim ini boleh dikatakan sukar untuk ditangani.  Banyak faktor yang menyumbang kepada fenomena melekat di lebuh raya sebegini.   Setiap keluarga di Malaysia kini sudah berkemampuan memiliki sebuah kenderaan empat roda.  Pergerakan dalam menyambut perayaan akan lebih mudah ke sanake mari tanpa batasan.  Maka dengan itu, bolehlah dikatakan bahawa pengangkutan awam kini hanyalah bersifat suatu pilihan.

Memeritkan.  Pergerakan yang perlahan berdikit-dikit di bawah terik mentari melemaskan suasana dalam kereta.  Anak-anak kecil menangis kebosanan yang amat sangat dalam menempuh perjalanan yang sangat panjang.  Ada berpuluh kenderaan terpaksa memberhentikan kenderaan di bahu jalan kerana pelbagai masalah.  Enjin yang dilanda kepanasan melampau adalah perkara biasa dalam waktu-waktu begini.  Juga mungkin kerana panggilan alam yang tidak terbendung lagi kerana kawasan hentian rehat masih jauh untuk disinggahi, maka hajat-hajat itu terpaksa ditunaikan di semak-semak yang bersesuaian.

Oleh kerana permasalahan ini kerap terjadi dalam musim-musim perayaan dan cuti umum yang panjang, kita sebagai pengguna tegar lebuh raya harus membuat persiapan rapi menghadapinya.  Paling tidak, dengan adanya senarai tindak atau checklist perlu ada sebelum memulakan perjalanan ke destinasi.

Apakah perkara yang perlu ada dalam senarai tindak kita? 

1.  Rancang waktu perjalanan kita.  Biasanya, kesesakan yang teruk terjadi pada hari terakhir cuti tersebut.  Cadangan, korbankanlah satu hari lebih awal untuk anda bergerak pulang demi keselesaan anak beranak.  Elok juga memulakan perjalanan pada awal pagi bagi mengelakkan tindakan tergesa-gesa.

2.  Pastikan kenderaan kita diselenggara dengan baik.  Bawalah bekalan air secukupnya sebagai bekalan jika radiator kekeringan.

3.  Isikan minyak ke tangki kenderaan anda sepenuhnya.  Dalam waktu-waktu begini, kesesakan dahsyat juga berlaku di kawasan hentian rehat di sepanjang lebuh raya.  Beratus kenderaan terpaksa menunggu giliran mengisi minyak di stesen petrol hentian ini.  Ini turut mengakibatkan kenderaan lain sukar untuk keluar masuk.  Kepakaran anda diperlukan apabila keadaan mendesak.  Sila keluar dari lebuh raya mengikuti susur keluar terdekat untuk mendapatkan bekalan petrol di pekan-pekan sana.  Bantuan peralatan GPS sangat membantu jika anda tidak biasa dengan kawasan berkenaan bagi membantu anda ke stesen petrol paling hampir.  

4.  Kuatkan semangat.  Tabahkan jiwa.  Banyakkanlah bersabar.  Saat-saat begini semua orang akan berada dalam tekanan.  Jika amarah menyerang, cuba beristighfar banyak-banyak.  Insya Allah.

5.  Sikap bertolak ansur amat perlu.  Cuba hindari sikap mementingkan diri sendiri.  Tiga lorong tersedia, maka cubalah untuk setia dengan tiga lorong tersebut.  Bersabar.  Elakkan menggunakan lorong kecemasan melainkan perlu sahaja.  Ketidaksabaran anda menyediakan lorong tambahan ini menyumbangkan kadar permasalahan kepada pengguna-pengguna naïf yang lain.

6.  Sediakan bekalan makanan dan minum yang mencukupi dalam kenderaan sebelum memulakan perjalanan.  Seperti yang telah dinyatakan, kawasan hentian rehat harus amat sesak.  Ini dapat membantu anda dan keluarga dari kelaparan di saat api kemarahan membuak-buak dalam keadaan trafik yang sesak.

7.  Jangan terlalu memperlahankan kenderaan anda apabila melalui tempat berlakunya kemalangan.  Sila teruskan perjalanan seperti biasa seadanya tetapi iktibar haruslah diambil dari kemalangan tadi.  Kebiasaannya, kesesakan boleh terjadi di arah bertentangan dengan tempat kemalangan terjadi.  Prihatin itu perlu tapi harus kena pada tempatnya.  Kasihanlah kepada abang-abang polis terlambai-lambai sambil kembang kempis pipinya meniup wisel berkehendakkan kenderaan segera bergerak lalu dari kawasan tersebut.

8.  Penunggang motosikal harus lebih berwaspada.  Apabila kejadian trafik melekat di lebuh raya, penunggang motosikal tentunya akan menyusur di antara barisan kenderaan-kenderaan ini.  Janganlah laju-laju.  Waspada selalu kerana dibimbangi ada kereta yang tiba-tiba menukar arah tanpa menyalakan lampu isyarat.  Berhati-hatilah menyelit.  Dimaklumkan bahawa di jalan raya, pengguna motosikal ini ibarat seperti mentimun – menggolek terkena, digolek pun kena.  Ingat, penyumbang statistik kemalangan maut tertinggi adalah dari penunggang dan pembonceng motosikal.

9.  Hormat menghormati amalan yang sangat mulia.  Mohon budi bicara pemandu budiman supaya jangan memotong barisan.  Masing-masing berkehendakkan cepat untuk sampai ke destinasi.  Betapa terbakarnya hati apabila tiba-tiba kita dipotong dek kereta lain tak semena-mena.  Dan biasanya ini dilakukan oleh insan-insan yang sesuka hati menggunakan lorong kecemasan tadi.  Betapa berat hamun yang diterimanya?

10.  Akhirnya, sentiasalah bersedia dan redha.  Kita sememangnya sudah merancang sebaiknya agar perjalanan yang bakal ditempuh itu berlaku dalam suasana lancar dan ceria.  Apakan daya, dugaan itu sentiasa menjengah kita dengan tiba-tiba.  Hadapi dengan seadanya dan tangani dengan penuh hemah.  Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar dan redha.

Moga-moga 10 tips yang berdasarkan pengalaman kita yang berharga (kerana masa itu emas) ini dapat dikongsikan bersama. Sama-sama beringat, sama-sama mendapat manfaat.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger