Headlines News :
Home » , » Pencuri Tinggal Bom Tangan

Pencuri Tinggal Bom Tangan

Written By Zul Fikri on Thursday, January 31, 2013 | 8:00 PM



Manjung: Seorang suri rumah bukan saja kerugian RM30,000 apabila rumahnya diceroboh tiga lelaki bersenjatakan pistol, malah terkejut apabila penjenayah itu mengambil gambar dia dan anak-anaknya serta meninggalkan peluru hidup, bom tangan dan bungkusan dadah di ruang tamu rumahnya dalam kejadian di Kampung Pantai, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Suzy, 30-an, berkata, kejadian berlaku ketika dia tidur sebelum terdengar bunyi seakan letupan dari pintu belakang rumahnya.

Menurutnya, dia yang bangun untuk memeriksa terkejut apabila tiga lelaki bertopeng meluru masuk sebelum mengacukan pistol ke arah mukanya.

“Penjenayah memaksa saya duduk sebelum menggeledah bilik tidur. Mereka turut memaksa saya menyerahkan wang tunai dan barang kemas jika tidak mahu dibunuh.

“Saya dan tiga anak perempuan berusia tujuh hingga 13 tahun amat takut ketika itu tambahan pula suami yang menguruskan perniagaan air batu tiada di rumah,” katanya.

Dia mendakwa kumpulan penjenayah itu menggeledah rumahnya lebih 30 minit sebelum memaksanya membuka pintu hadapan rumah.
“Mereka bergegas melarikan diri bersama wang dan barang kemas milik saya yang dianggarkan RM30,000. Namun, sebelum meninggalkan rumah, kumpulan penjenayah itu sempat mengambil gambar kami sekeluarga.

“Tambah pelik apabila mereka turut meninggalkan 10 peluru hidup, bom tangan dan bungkusan dadah di dalam rumah tanpa sebab munasabah,” katanya.
Menurutnya, suspek turut mengugutnya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

“Saya tidak pasti identiti sebenar penjenayah, namun ada kemungkinan rompakan ini didalangi sindiket ceti haram yang sebelum ini kerap mengganggu kami sekeluarga.

“Malah, beberapa along pernah mengugut suami saya beberapa kali selepas dia menghadapi masalah melunaskan hutang,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, sebelum kejadian itu rumah bapanya yang terletak tidak jauh daripada kediamannya turut disimbah cat merah dan pejabat suaminya turut dipecah masuk awal pagi pada Jun tahun lalu.

Difahamkan, gelagat penjenayah turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar kediaman mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Jaafar Baba mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger