Leher diacu pisau, tangan diikat dan rantai emas bernilai RM5,000 dilarikan anak sendiri.
Itu nasib malang menimpa seorang ibu berusia 58 tahun apabila anak lelakinya mengacu pisau di leher sebelum mengikat ibu kandungnya dalam kejadian di Kampung Nibong, Jalan Panji Alam, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku ketika mangsa tidur di ruang tamu rumahnya, sebelum terjaga selepas menyedari lehernya diacu pisau oleh anak kandungnya berusia 34 tahun.
Mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, dia terkejut sebaik terjaga dan mendapati suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah mengacukan senjata ke lehernya.
Dalam keadaan ketakutan dicederakan, ibu kepada empat anak itu hanya mampu meminta anak lelakinya itu mengucap kalimah syahadah, selain berkali-kali memberitahu suspek bahawa orang yang diacukan pisau itu adalah ibunya sendiri.
Apabila saya suruh dia mengucap, dia hanya diam. Kemudian dia mengambil tali rafia dan mengikat tangan saya. Saya kemudian cuba membuka ikatan itu tanpa disedarinya dan selepas berjaya melepaskan diri, saya merampas pisau dari tangannya.
Tanpa berlengah dan bimbang kejadian lebih buruk berlaku, saya menjerit meminta pertolongan jiran dan saya kemudian melompat keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri. Saya kemudian segera ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata suspek pernah terbabit dalam beberapa kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.