AGAK sukar untuk mempercayai seorang kanak-kanak, Aldi Ilham, 8, yang berasal dari Sukabumi, Indonesia merokok di hadapan rumahnya dan boleh menghabiskan dua kotak rokok sehari tanpa dimarahi oleh ibu bapa.
Dia yang mula merokok ketika berumur empat tahun itu enggan ke sekolah dan hanya bermain serta menghisap rokok sepanjang hari.
Walaupun jika dilihat pada umurnya, ia amat mengejutkan tetapi pemandangan sebegini bukanlah sesuatu yang asing di Indonesia. Dianggarkan satu juta kanak-kanak di Indonesia di bawah umur 16 tahun di negara itu menghisap rokok dengan satu per tiga daripada mereka merokok sebelum berumur 10 tahun.
Selain Aldi, seorang lagi kanak-kanak, Ardi Rizal yang kini berumur empat tahun pernah mengejutkan dunia kerana menghisap rokok sebanyak 40 batang rokok sehari ketika berusia dua tahun. Dia akan membuat perangai jika ketagihan rokoknya tidak dipenuhi.
Ardi menjadi terkenal setelah klip videonya sedang menghisap rokok tersebar luas di internet.
Hasil kaji selidik dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat yang disiarkan September lalu mendapati, kadar perokok lelaki Indonesia adalah yang tertinggi di dunia.
Hampir dua per tiga daripada golongan lelaki berumur lebih 15 tahun adalah perokok. Bilangan kanak-kanak yang menjadi perokok juga bertambah dengan peningkatan tujuh kali ganda dalam masa kurang sedekad.
Menteri Kesihatan Indonesia, Nafsiah Mboi mengakui bahawa negara itu sukar menghentikan tabiat merokok penduduknya.
"Hasil kajian juga mendapati hampir suku daripada golongan remaja di negara ini merupakan perokok tetap," ujarnya dalam satu temu bual bersama sebuah stesen televisyen, Channel 4 di Britain baru-baru ini.
+ comments + 2 comments
teruknya mentaliti masyarakat kat sane... sedih melihat
pergh ! sangat menakutkan budak2 besar tuh dah merokok ...