DENGAN hanya bersandarkan lagu virusnya, Gangnam Style, penyanyi yang mencetus kegilaan di seluruh dunia, Psy ‘berpesta’ trofi apabila membawa pulang empat trofi di anugerah berprestij, Anugerah Muzik Mnet Asia 2012 (MAMA2012) Jumaat lalu.
Walaupun disaingi hebat beberapa nama besar lain pada acara paling ditunggu-tunggu yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen (HKCEC), Hong Kong itu, namun dari awal, kemenangan Psy memang sudah diduga dan menepati ramalan mengungguli kategori Best Music Video, Best Dance Performance, International Favorite Artist serta Song of the Year.
Mendapat pujian aktor antarabangsa terkenal, Jackie Chan yang hadir sebagai penyampai anugerah pada petang itu, sewaktu dia naik ke pentas beberapa rakan artis di label sama, YG Family sempat mengusiknya dengan tarian kuda.
Nyata berbangga dan rasa bersyukur dengan kejayaannya sehingga ke tahap sekarang, sewaktu ucapannya dia sempat berpesan kepada rakan-rakan artis lain agar tidak pernah berhenti untuk berusaha keras dan terus mengukuhkan muzik K-Pop di persada antarabangsa.
Nyata berbangga dan rasa bersyukur dengan kejayaannya sehingga ke tahap sekarang, sewaktu ucapannya dia sempat berpesan kepada rakan-rakan artis lain agar tidak pernah berhenti untuk berusaha keras dan terus mengukuhkan muzik K-Pop di persada antarabangsa.
Apapun, jelas penguasaan kali ini berpihak kepada artis lelaki apabila dua lagi band K-Pop terkemuka, Big Bang dan Super Junior mengiringi kemenangan Psy apabila turut menggondol trofi kategori utama.
Cukup berpengaruh pada ketika ini, Big Bang dinobatkan Artist of the Year mengenepikan nama besar termasuklah Psy, Super Junior, Busker Busker dan Sistar sekali gus membuktikan taring mereka belum lagi tergugat. Dua kategori lain yang turut dimenangi band dianggotai G-Dragon, T.O.P, Taeyang, Daesung dan Seungri itu termasuklah Best Male Group dan Guardian Angel Worldwide Performer.
Tidak ketinggalan, anggotanya G-Dragon yang cemerlang bergerak solo juga turut dinobatkan anugerah Best Male Artist (Solo).
Bagaimanapun, pernah meniti puncak terbaik agak lama juga sebelum ini, Super Junior atau SuJu yang turut kembali rancak memeriahkan industri nampaknya masih lagi belum habis bisanya dan turut mencipta prestasi membanggakan pada MAMA kali ini.
Masih lagi jadi siulan lagu popularnya Sorry Sorry, SuJu pulang tersenyum dengan kemenangan mereka menerusi Album of the Year, Best Global Group (Male) dan juga Best Line Award melengkapkan lagi penguasaan mereka apabila meraih tiga trofi di acara sama, tahun lalu.
Disiarkan secara langsung di laman YouTube dan ditonton kira-kira 2.3 billion di seluruh dunia, acara ini sememangnya antara anugerah paling mendapat perhatian kerana selain menghimpunkan artis-artis Korea, China dan Jepun, ia tidak ketinggalan menampilkan artis Barat beraksi sama.
Memeriahkan MAMA2012, dua artis jemputan iaitu B.O.B yang mempersembahkan lagu popularnya, Airplane dan Nothin’ On You serta Adam Lambert menerusi lagu Whataya Want From Me dan Trespass berjaya menggegarkan pentas.
Paling dinantikan pastinya persembahan bertenaga Big Bang serta SuJu yang sejak awal acara tidak lekang mendapat jeritan penonton. Sentiasa menjanjikan persembahan bertenaga dan mengagumkan, Big Bang tampil hebat tatkala mendendangkan Crayon dan Fantastic Baby. Manakala, SuJu mantap menyanyikan Spy dan Sexy, Free & Single.
Antara persembahan lain pada acara itu juga termasuklah Song Jongki, Jung Jaeil, G-Dragon, Pia, Bang Yongguk, Ailee (A Better Tomorrow), Ga In (Bloom), Sistar (Alone), Troublemaker (Troublemaker), Wang Lee Hom (Ni Bu Zhi Dao De Shi & Mei), Epik High feat. Lee Hi (It’s Cold), Epik High (Don’t Hate Me) serta Jang Wooyoung dan JYP (Sexy Lady, DJ Got Me Going Crazy, You’re The One & Gonna Make You Sweat).
Tidak ketinggalan, pendatang baru, Roy Kim beraksi buat pertama kalinya menyanyikan My Way, Passing By dan Who Are You Living For, EXO dan TVXQ (Mama & Mirotic), SHINee (Lucifer & Sherlock), Li Yuchun (Hello Baby), Nathew (She’s Bad), TimeZ (Hooray for Idols) serta kombinasi Zico, Double K, LOCO, CHOIZA, Caeko, All Star dan Davichi menerusi segmen Beat Rocks The World.
Paling mencuri tumpuan dan menjadi persembahan kemuncak, sewaktu Psy tampil mempersembahkan lagu Gangnam Style, seluruh dewan bergema dengan jeritan sebelum menari bersama-sama. Ternyata, biar diulang banyak kali pun, lagu itu tidak pernah gagal membikin orang bergoyang.
Sejurus tamat majlis, Psy jelas cukup gembira dengan kemenangan berganda berkenaan.
“Tahun ini semestinya menjadi kenangan yang tidak akan pernah saya lupakan sampai bila-bila pun. Saya juga benar-benar berbangga menjadi satu daripada artis naungan YG dan tahun ini kami pulang dengan kemenangan besar.
“Walaupun saya masih lagi sedikit kecewa Gangnam Style tidak berjaya menduduki tempat pertama dalam carta Billboard namun saya sudah cukup beruntung lagu berkenaan berjaya masuk di carta terbabit. Bukan saja diterima hebat di Amerika, malah di pelbagai negara juga, lagu itu menjadi kegilaan.
“Kini saya akui tertekan sedikit kerana pastinya saya tidak menaruh harapan tinggi kepada lagu lain selepas ini untuk mengulangi kejayaan Gangnam Style tapi berjanji akan terus berusaha membikin lagu yang terbaik,” katanya.