SUP ekor yang pekat dan berempah merupakan hidangan lazim di gerai atau restoran mamak terutama bagi menu sajian waktu malam.
Begitu popular dicicah dengan ban, kepingan roti putih atau roti 'Benggali', sup ekor sememangnya satu sajian unik yang membuka selera sesiapa sahaja.
Begitupun, pernahkah anda mendengar sajian nasi goreng kornas? Tidak pernah bukan? Nasi goreng kornas merupakan nasi goreng yang dicampur dengan ekor lembu dan nanas.
Masakan ini tidak disajikan dalam bentuk sup bersama nasi putih, tetapi digaul bersama nasi putih yang digoreng bersama buah nanas.
Bukan sekadar memberi satu kelainan dalam rasanya, malah turut memberi satu perbezaan dari segi masakan yang dihasilkan.
Menurut pengusaha menu baru tersebut, Khamariah Salleh, 42, sajian tersebut dihasilkan kerana ingin memberi pilihan serta mencipta kelainan kepada para pelanggannya.
Selain itu tambahnya, menu tersebut merupakan resepi asalnya sendiri dan ramuan yang digunakan juga mempunyai sedikit kelainan daripada nasi goreng biasa.
"Nasi goreng kornas adalah singkatan daripada nasi goreng ekor nanas.
"Menu baru ini dicipta untuk memberi kelainan dalam cita rasa kepada para pelanggan yang sering berkunjung ke gerai kami ini.
"Yang pasti menu ini dihasilkan daripada resipi yang berbeza daripada nasi goreng yang sedia ada, malah rasanya juga mempunyai campuran rasa masam dan pedas," ujarnya ketika ditemui di gerainya yang terletak di Kafe La Nansa, No. 14, Jalan Pelapik U8/C, D'Pangkin, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Telah berkecimpung dalam dunia perniagaan masakan panass sejak tahun 2004, bersama suami dan anak-anaknya, gerai Khamariah menawarkan menu sarapan untuk para pengunjung sehingga pukul 11 pagi selain masakan panas bermula pada pukul 4.30 petang hingga 4.30 pagi.
Mengulas mengenai perniagaannya itu, jelas Khamariah, dia bersama suami sentiasa memikirkan menu baru untuk disajikan kepada para pengunjung.
Ini bertujuan agar para pengunjung tidak bosan dengan menu yang sama setiap kali berkunjung ke gerai mereka.
Yang pasti setiap bulan menu baru akan ada untuk dicuba para pelanggan.
Selain nasi goreng kornas, gerai Khamariah turut menawarkan pelbagai pilihan masakan panas seperti laksa Sarawak, bubur ayam, char kue tiau, mi claypot, laksa Penang dan banyak lagi.
Semua menu yang disajikan memenuhi cita rasa setiap pelanggan yang mengunjungi gerai Khamariah.
Selain itu, Khamariah turut menitikberatkan soal kesegaran masakan yang disajikan.
Untuk itu setiap sajian yang dimasak akan menggunakan bahan-bahan segar selain memasak makanan mengikut tempahan yang diterima.
"Di sini kami menyediakan masakan panas mengikut permintaan kecuali kuah laksa yang telah pun dimasak terlebih dahulu.
"Ini adalah untuk menjaga kesegaran setiap masakan yang dihasilkan disamping penggunaan bahan-bahan mentah yang segar dalam setiap masakan," katanya.