Headlines News :
Home » , » Kenal David..Si Hero "Grimm" Yang Kacak

Kenal David..Si Hero "Grimm" Yang Kacak

Written By Unknown on Monday, December 3, 2012 | 5:04 PM



MENGAMBIL jurusan kewangan di universiti tidak semestinya lelaki dari Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) ini terperangkap dalam sektor perbankan atau korporat. Niatnya yang sekadar suka-suka untuk menyertai program realiti MTV Show’s Road Rules: South Pacific akhirnya menukar perjalanan karier David Giuntoli.
Dia berpindah ke Los Angeles pada tahun 2007 untuk bergelar pelakon sepenuh masa. David kemudian belajar berlakon daripada Christopher Fields dan mula bekerja dengan Echo Theater Company. Bermula daripada itu dia diberi kepercayaan untuk muncul dalam beberapa siri popular seperti Grey’s Anatomy, Private Practice, Privileged dan kini David paling dikenali menerusi Grimm.
Diinspirasikan daripada epik fantasi Grimm Brothers, siri popular itu sudah memasuki musim kedua sejak Ogos lalu. Kelibat David sebagai Detektif Nick Burkhardt dalam drama kepolisan seram itu dapat disaksikan menerusi saluran Diva Universal.
David mendakwa dia bukan peminat siri dongeng pada zaman kanak-kanaknya, tetapi dia kini jatuh cinta dengan produksi Grimm sejak mula ditawarkan skrip itu tahun lepas. Epik Grimm Brothers kali ini diberi sentuhan semasa dan tidak keterlaluan bersifat dongeng.
“Saya bukan peminat siri dongeng tapi gemarkan sesuatu yang boleh menakutkan. Rasanya Grimm ada semua yang saya mahukan. Saya sukakan drama berkenaan kerana ia santai. Ia tidak sukar untuk diikuti. Ada unsur mistik tetapi fokus drama itu ialah terhadap tugas-tugas polis menangkap dan menghancurkan kejahatan. Ia seolah-olah CSI bersatu dengan X-Files,” jelas David dalam satu temu bual baru-baru ini.
Pada musim kedua yang belum ditayangkan di Asia, David membayangkan Nick masih membawa penonton ke dalam situasi yang semakin misteri.
“Dalam musim pertama, Nick dilihat sebagai seorang polis yang sentiasa ditekan oleh episod-episod tragik yang hampir meragut nyawanya. Musim kedua pasti ada sedikit perbezaan. Sudah tentu penonton semakin mahu tahu latar belakang Nick tetapi ia tidak semudah yang disangka. Nick akan selalu memisahkan sebahagian hidupnya daripada diketahui orang lain. Dia bersama tunangnya juga masih akan berdepan banyak lagi kesusahan,” cerita David.
Dilihat sebagai pelakon yang secara tidak sengaja terjebak ke industri hiburan, David sendiri tidak pernah membayangkan kejutan yang diterima ketika sedang berseronok bersama teman-teman di sebuah bar menjadikan dia seorang yang popular ketika ini.
“Saya belajar dan pernah bekerja dalam bidang kewangan. Semasa di kolej, seseorang datang menepuk bahu saya dan mempelawa saya untuk menyertai MTV selama tiga bulan. Ketika itu, kenapa mesti saya berkata tidak. Kerja yang menyeronokkan dan kemudian saya dapat imbuhan yang cukup untuk belajar dan menampung hidup sementara dapat kerja yang kukuh. Kemudian saya mula menyertai teater, dari situlah semuanya bermula dan ia jelas sekali. Lakonan ialah destinasi saya,” katanya.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger