Headlines News :
Home » , , » Keluhan Penduduk di Kampung Dato’ Mansor

Keluhan Penduduk di Kampung Dato’ Mansor

Written By Unknown on Sunday, December 2, 2012 | 5:33 PM




Penduduk di Kampung Dato’ Mansor, dekat sini, tidak sanggup lagi menghadapi masalah banjir setiap kali hujan lebat dan berharap pihak berwajib membantu menangani masalah itu segera.

Difahamkan, keadaan banjir bertambah teruk sejak empat bulan lalu apabila tanah dari bekas lombong yang ditambak untuk membina rumah di kawasan itu mendap dalam longkang hinga menyekat aliran air.

Penduduk, Asmah Mat Tan, 61, berkata, fenomena banjir sudah biasa dihadapi sejak dia tinggal di situ, namun semakin teruk walaupun pelbagai usaha dibuat termasuk mengadu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Setiap kali hujan saya mula risau rumah akan dimasuki air walaupun hujan hanya setengah jam saja, air longkang sudah penuh dan melimpah masuk ke kawasan rumah.

“Lebih teruk, air longkang yang bercampur dengan lumpur itu bukan saja mengotorkan rumah malah penat untuk membersihkannya apabila air surut kerana saya sudah tua dan tidak larat lagi.

“Justeru, saya memohon jasa baik pihak berkenaan supaya dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk ini dengan segera,” katanya.
Asmah berkata, rumahnya pernah dimasuki air sehingga paras pinggang dan merosakkan banyak perabot di rumahnya.

“Selagi masalah ini tidak selesai, saya terpaksa menggunakan perabot lama dan tidak berani membeli perabot baru kerana bimbang akan rosak lagi,” katanya.
Yaacob Harun, 59, pula berkata, dia kesal dengan keadaan infrastruktur dan juga sistem perparitan yang tidak sistematik sehingga mengakibatkan kesukaran setiap kali hujan.

“Setiap kali hujan lebat, bukan saja air daripada longkang yang tersumbat di depan rumah tidak dapat mengalir sehingga memasuki rumah saya malah air lumpur yang turun dari bukit berdekatan juga masuk ke dalam rumah saya.

“Saya sudah tinggal di sini sejak 23 tahun lalu dan masalah banjir di kawasan ini memang sudah lama berlarutan namun sehingga kini masih tiada inisiatif dilakukan untuk menyelesaikan masalah kami,” katanya.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger