Headlines News :
Home » , , » Bunga Raya Setanding botoks

Bunga Raya Setanding botoks

Written By Unknown on Monday, December 17, 2012 | 3:50 PM




BUNGA raya sering ditemui di kawasan beriklim tropika antaranya Florida dan Hawaii selain didapati banyak tumbuh melata di kampung dan bahagian tepi jalan raya di Malaysia. Menurut beberapa kajian, bunga raya dikatakan sebenarnya berasal dari kawasan tropika di Afrika.

Jika bunga raya terkenal sebagai tumbuhan yang dapat merawat dan melebatkan rambut di kalangan masyarakat Melayu di negara ini, ia turut digunakan penduduk di negara lain bagi mendapatkan kebaikan alam semula jadinya baik dari segi kesihatan mahupun kecantikan. 

Bunga raya mempunyai kebaikan yang tidak dapat ditandingi produk berasaskan bahan kimia kerana selain selamat, ia berkesan dalam mencantikkan dan melembutkan kulit.

Lebih menarik, bunga raya turut mendapat jolokan sebagai ‘tumbuhan botoks’ kerana kemampuannya untuk mengurangkan kedutan kulit secara semula jadi dengan cara menghaluskan penampilan garis pada wajah selain menguatkan sel kulit.

Kandungannya selain mampu menenangkan garisan kedut serta-merta secara intensif, ia juga menawarkan prosedur penegangan kulit secara mudah dan murah, seterusnya membantu seseorang memiliki kulit lebih muda, anjal dan sihat.

Ia dianggap alternatif yang tidak berbahaya berbanding suntikan botoks yang mahal dan mempunyai kesan sampingan. Selain itu, ia juga boleh melindungi serta merawat kulit yang kering, kusam dan berkedut.

Ekstrak bunga raya adalah satu rawatan semula jadi untuk mengurangkan garis ekspresi dengan cara mengurangkan masalah kekeringan kulit iaitu satu daripada punca utama berlakunya penuaan awal kulit.

Kebaikan bunga raya antara lain boleh digunakan untuk membantu merawat dan melegakan pelbagai masalah kulit seperti ekzema serta mampu meningkatkan tahap kelembapan kulit.

Selain itu, khasiatnya juga mampu meningkatkan fleksibiliti dan keanjalan kulit dengan cara melembapkan kulit.

Bunga raya mempunyai sifat astringen semula jadi, antiradang dan mampu memerangkap radikal bebas serta sifat perencatan enzim. Tambahan pula, kandungan lendir yang tinggi meningkatkan pengekalan kandungan kelembapan kulit, sekali gus menjadikan bunga raya berguna untuk melawan kesan penuaan.

Sifat astringen semula jadi dan melembap yang ada padanya menjadikan ia pilihan yang baik bagi merawat keadaan radang kulit seperti ruam selain menyelesaikan masalah rambut kering.

Manfaat bunga raya semakin mendapat tempat di kalangan pengusaha bahan kosmetik moden apabila kini, rata-rata barangan penjagaan diri turut ditambah dengan ekstrak daripada tumbuhan berkenaan.

Bunga yang kaya dengan lendir dan beberapa komponen gula apabila dihancurkan itu mempunyai kemampuan untuk melembutkan kulit kerana ia berfungsi seperti emolien yang mampu menegangkan dan pada masa sama, meratakan warna kulit.

Bagi mereka yang mempunyai masalah jerawat serius, bunga raya membantu melegakan masalah itu dengan cara membersihkan liang roma pada kulit.

Caranya mudah saja iaitu letakkan daun bunga raya yang basah pada kawasan kulit yang bermasalah dan biarkan sehingga 15 minit sebelum dicuci. Namun cara itu perlu dilakukan setiap hari bagi mendapat kesan terbaik.

Bahagian kelopak bunga pula boleh digunakan bagi merawat masalah kulit dan banyak digunakan di spa kerana kandungan zat besinya memberi nutrien penting kepada kesihatan kulit.

Ajen yang ada dalam bunga raya boleh membantu merawat tanda awal penuaan kerana ia bertindak memperbaharui, menyegarkan dan membuatkan kulit kelihatan berseri.

Selain diamalkan masyarakat zaman dulu, wanita di bandar besar termasuk New York yang menyedari khasiat tumbuhan itu juga menjadikan bunga raya sebagai sebahagian daripada rejim kecantikan mereka, secara dalaman dan luaran.

Ini kerana selain disapu pada kulit untuk tujuan kecantikan, bunga raya juga boleh dicampur dengan teh bagi menyalurkan kebaikannya untuk mendapatkan tubuh yang sihat.

Bunga raya juga boleh dijadikan pupur yang disapu pada wajah. Caranya dengan menghancurkan kelopak bunga dan campurkan dengan dua biji telur dan satu sudu jus lemon.

Kemudian campuran itu digaul bersama sebelum disapu pada kulit dan muka.
Biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air. Selain itu, teh bunga raya boleh diminum dua hingga tiga kali seminggu untuk menguatkan organ dalaman.

Khasiat bunga raya bukan baru diketahui malah herba tradisional itu sudah digunakan sejak zaman purba di mana pada 1216, Abul Abbas al-Nabati, seorang ahli botani Seville, Sepanyol, mengatakan masyarakat Mesir purba menggunakan buah bunga raya yang belum matang dan digaul bersama daging, sebagai ubat herba untuk merawat beberapa jenis penyakit.

Sejak 100 tahun lalu di India, buah bunga raya digunakan bagi menghasilkan resipi lazat selain bunganya digunakan bagi mendapatkan kesan diuretik dan menurunkan tekanan darah. Penduduk negara Arab pula menggunakan campuran benih bunga raya dengan kopi dan minuman lain untuk mendapatkan rasa lebih kuat.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger