Dalam kejadian 7.30 malam, sebuah van, kereta dan motosikal yang melalui laluan itu terhumban dalam rekahan tanah mendap sedalam kira-kira 100 meter apabila laluan itu tiba-tiba runtuh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob yang ditemui di tempat kejadian, berkata lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berjaya diselamatkan orang ramai.
"Sebuah van dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dari arah Jelebu adalah kenderaan pertama terhumban ke dalam gaung yang terbentuk akibat mendapan itu. "Selang beberapa minit, sebuah Myvi dinaiki tiga orang, termasuk kanak-kanak dua tahun dari arah bertentangan turut terhumban, diikuti motosikal dinaiki seorang lelaki. Semua mangsa berusia dua hingga 40-an," katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata, semua mangsa hanya cedera ringan dan laluan itu ditutup dari kedua-dua arah sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dijalankan. Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor,
Mohd Sani Harul, berkata 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Bangi dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan jam 7.40 malam. "Ketika ini (lewat malam tadi) kerja-kerja pemantauan sedang dijalankan kerana bimbang ada lagi mangsa yang terperangkap, bagaimanapun setakat ini hanya lima mangsa disahkan selamat dan tiada mangsa lain.
"Kita percaya kejadian ini berpunca dari pergerakan tanah disebabkan hujan lebat petang tadi (semalam)," katanya.
+ comments + 1 comments
Teruk gak ye bro.. byk tempat ke tanah runtuh ni? Yg polis tu halau rusa ke? Hehe