Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan sistem permohonan dalam talian pendaftaran rebat RM200 telefon pintar untuk golongan belia berjalan tanpa masalah.
Penasihat Strategik, Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata laman web itu boleh dilayari pada tahap kelajuan memuaskan setiap masa, sejak Jumaat lalu.
"Malah, hari ini kelajuan laman web lebih bagus (dari sebelum ini)... Sistem kita berjaya menampung semua permohonan 'online' yang diterima," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.
Sheikh Raffie juga menegaskan laman web itu tidak mungkin mengalami masalah kerana bagi tempoh malam semalam sehingga pagi ini, terdapat 12,000 permohonan baharu berjaya didaftarkan.
Sejak dibuka pada 1 Jan lepas, sebanyak 49,000 pendaftaran diluluskan SKMM setakat 11.30 pagi Isnin.
Pada masa yang sama beliau menasihatkan pemohon agar teliti ketika menggunakan sistem itu yang mungkin menjadi faktor kepada kesukaran seperti didakwa sesetengah pihak.
"Mungkin ada kesilapan semasa menekan (papan kekunci)," katanya.
Sementara itu, seorang pekerja di stesen minyak, Muhammad Firdaus Ali, 25, berkata usahanya untu mendaftar pada Ahad lepas gagal, namun akan mencuba lagi selepas diberitahu laman web itu dapat diakses dengan mudah Isnin.
"Saya akan cuba untuk mendaftar sekali lagi sebaik sahaja pulang dari kerja supaya saya dan kawan boleh bersama-sama mendapatkan telefon pintar yang telah lama diimpikan pada harga lebih murah," katanya.
Pelajar Kolej Yayasan Melaka Syameer Kamal, 22, berkata beliau berjaya mengakses laman web itu namun langkah akhir untuk mendaftar permohonan mendapatkan rebat RM200 berkenaan tidak berjaya diproses.
"Saya telah cuba dari pukul 11.15 pagi tadi lagi tetapi sehingga kini apabila saya klik untuk daftar tetapi permohonan tidak dapat diproses, saya perlu mencuba lagi.
"Saya agak kecewa ingatkan 'first time' masuk sudah berjaya, tetapi tidak berjaya," katanya yang meminta SKMM menaik taraf sistem itu. BERNAMA