Persatuan Veteran Renjer Sarawak (PBRS) menyifatkan penulis
artikel dalam satu blog menghina pahlawan negara mendiang Temenggung Datuk
Kanang Langkau sebagai sampah dan tidak layak menjadi warganegara Malaysia.
Setiausaha Agungnya Kapten (B) Johari Ibrahim berkata, ini kerana
penulisan artikel tersebut umpama tidak menghargai pejuang negara itu dalam
memerangi musuh semasa darurat.
“Orang yang tidak menghargai pengorbanan kami dengan mendakwa
kerajaan membazir duit untuk pengebumian adalah sampah dan tidak layak menjadi
warganegara Malaysia,” katanya kepada pemberita semalam.
Menurutnya, sesiapa sahaja yang pernah berkhidmat dengan Kanang
dahulu pasti berasa kecewa dan marah dengan penyiaran artikel tidak bertanggungjawab
itu.
Beliau menambah, penulis itu tidak mengetahui tugas dan
tanggungjawab yang dimainkan semasa darurat di Semenanjung dan Sarawak serta
Konfrontasi.
“Kami tahu kesusahan dan kesusahannya. Kami ditempatkan di dalam
hutan sehingga tiga bulan demi menjaga keselamatan dan keamanan negara,”
ujarnya.
Johari yang mengetuai PBRS membuat laporan di Balai Polis Sentral
terhadap laman web suarapakatanrakyat.com yang menyiarkan artikel mempersoalkan
kerajaan membazir duit untuk pengebumian mendiang Kanang dan menyatakan
panglima negara itu bukan hero.
Artikel dalam blog itu mendedahkan Kanang dibayar kerajaan untuk
menjalankan tugas.
Sementara itu, menurut Johari, laporan itu dibuat bukan sahaja
mewakili PBRS tetapi semua veteran tentera yang tinggal di Sarawak.
“Kami berharap polis dapat membuat sesuatu dan menghadap penulis
blog itu ke muka pengadilan,” jelasnya.