Seandainya bakat lakonan dirinya masih diperlukan pada usia emas kelak, aktres jelita, Maya Karin Roelcke, 33, memberitahu HIP, dia tidak akan menolak tawaran yang datang.
Dalam perjalanan kerjaya seninya, pelakon berbakat ini tidak pernah meletakkan sebarang tempoh untuknya mengangkat bendera putih ataupun bersara.
“Saya tidak pernah mempunyai hasrat hendak berhenti daripada berlakon. Selagi ada tawaran, walaupun ketika itu usia saya sudah mencecah 60 atau 70 tahun, saya akan terima.
“Bagi saya, lakonan tidak perlu ada had usia. Dunia lakonan bukan untuk mereka yang kacak atau cantik saja, sebaliknya ia memerlukan insan yang berbakat,” kata Maya yang ditemui ketika menyertai delegasi Malaysia ke Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-55 di Macau, baru-baru ini.
Aktres yang pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik FFAP edisi ke-49, kira-kira lapan tahun lalu itu berkata, dia gembira melihat festival berkenaan tidak bersikap berat sebelah apabila anugerah Pelakon Lelaki Terbaik diberikan kepada aktor berusia 92 tahun, Eddie Garcia, dari Filipina.
“Saya seronok melihat anugerah aktor terbaik diberikan kepada seorang pelakon yang berusia. Jika orang itu memang patut menerimanya, kenapa kita perlu menidakkan dan berikan kepada pelakon yang memiliki rupa paras elok semata-mata?
“Kita di Malaysia pun sepatutnya mempraktikkan perkara yang sama. Jika pelakon berusia memang bagus dan layak menerimanya, maka anugerah itu seharusnya diberikan kepada mereka,” kata Maya yang terbang ke Macau bagi mewakili filem popular lakonannya, Ombak Rindu.
Nasib Maya kurang baik tahun ini apabila nama mahupun filem yang dibintanginya bersama Aaron Aziz tidak melekat dalam mana-mana kategori akhir. Biarpun rezeki tidak berpihak kepadanya, tiada sekelumit pun rasa kecewa bersarang di jiwanya. Apa yang penting buat aktres ini ialah peluang disediakan FFAP dalam mengembangkan karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Cuma, sikap penganjur yang bersikap acuh tidak acuh dengan delegasi luar, apabila tidak membekalkan maklumat lengkap mengenai perjalanan majlis, sehingga timbul salah fahamketika acara berlangsung, sedikit membuatkannya kesal.
Penggunaan bahasa Kantonis dan Mandarin sepanjang anugerah berlangsung turut menimbulkan ketidakpuasan hati Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2011 ini.
“Penganjur kenalah sensitif. Mereka sepatutnya sedar, bukan semua delegasi faham bahasa Cina. Ada delegasi yang datang dari India, Vietnam, Korea, Iran, Filipina dan pelbagai negara lain, tetapi tiada langsung perkataan bahasa Inggeris digunakan.
Ketika pelakon luar seperti Jepun, Iran dan Filipina menang anugerah, terjemahan juga dilakukan dalam bahasa Cina. Jadi, bagaimana dengan delegasi lain yang tidak memahami bahasa itu?”
“Selepas ini, penganjur kena lebih bersedia. Contohnya, bagi penganjuran FFAP tahun depan, lokasinya pun masih belum ditetapkan lagi. Sedangkan untuk majlis yang besar sebegini, lokasi seharusnya ditentukan untuk tempoh tiga tahun akan datang. Tugas menjaga delegasi juga tidak sepatutnya diberikan kepada sukarelawan, yang terdiri daripada pelajar, kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai maklumat lengkap,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sebarang perkembangan positif sepanjang dia berada di Macau, aktres ini tidak berani untuk mengesahkan apa-apa.
Difahamkan, seorang produser dan pengarah dari Thailand, Nonzee Nimibutr, yang pernah mengarahkan filem Nang Nak menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Maya.
“Saya tidak mahu letak harapan besar kerana semuanya belum pasti lagi. Saya sudah mengenali Nonzee sejak FFAP di Fukuoka, Jepun, lagi. Malah dia pernah datang ke Kuala Lumpur kononnya untuk berbincang mengenai filem, tetapi akhirnya usaha sama itu tidak berhasil.
“Selagi belum ada hitam putih, saya tidak mahu mencanangkannya kerana enggan dianggap berlagak,” katanya ikhlas.