Akibat menjual cakera padat digital (DVD) lucah pelbagai tajuk, seorang ibu beranak empat dihukum Mahkamah Majistret Georgetown Pulau Pinang semalam.
Tertuduh, Poh Siew Choo dalam pertuduhannya pada 29 Julai 2011 jam lebih kurang 11.30 malam di tepi Jalan Penaga Jelutong mempamerkan DVD lucah berkenaan kepada orang awam.
Sebanyak 139 keping DVD pelbagai tajuk turut dipamerkan bersama dan dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan hendaklah dipenjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Siew Choo kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhannya dan hanya tertunduk tenang di dalam kandang tertuduh.
Dalam rayuannya tertuduh memohon supaya hukuman diringankan kerana dia masih menanggung empat anak.
Sementara duit hasil jualan DVD juga adalah digunakan untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
“Saya mohon supaya puan majistret rendahkan hukuman saya kerana saya punya keluarga dan anak, sementara saya juga tidak punya pekerjaan lain,” katanya.
Majistret, Norhayati Ibrahim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 kepada tertuduh.
“Jika gagal bayar tertuduh akan dikenakan hukuman penjara selama tempoh satu bulan, sementara bahan bukti yang juga DVD akan dilupuskan oleh mahkamah,” katanya.
Siew Choo kemudiannya tersenyum lega selepas mendengar hukumannya sementara suaminya yang hadir bersama tergesa-gesa keluar dari kamar mahkamah majistret.-sinarharian