Nama bintang Korea Selatan, Psy tiba-tiba meningkat naik kerana populariti mendadak lagu "Gangnam Style". Bintang CNN, Anderson Cooper yang dikenali ramai dengan nama "Silver Fox" dan digilai ramai wanita mengakui dirinya seorang homoseksual. Kris Humphries pula menyedari bekas teman wanitanya, Myla hamil sedangkan dia bermati-matian menafikan hubungan mereka lebih daripada sekadar teman dalam kes perceraian bersama bintang siri televisyen realiti, Kim Kardashian. Johnny Depp dan pasangannya, Vanessa Paradis berpisah selepas 14 tahun bersama. Kisah percintaan dua anak muda terkenal, Justin Bieber dan Selena Gomez menjadi perhatian ramai dan juga Bieber menyaman sebuah syarikat pengeluar permainan video kerana menghasilkan permainan "Justin Beaver".
Selain daripada beberapa keadaan yang disebut ini, berikut adalah antara situasi yang menjadi perhatian sepanjang tahun 2012.
Penyalahgunaan dadah di bulan Januari
Pada bulan Januari, aktres Demi Moore dimasukkan ke hospital akibat mengalami epilepsi disebabkan penyalahgunaan nitrogen oksida (yang juga dipanggil sebagai whip-its). Tidak lama selepas itu, Moore dimasukkan ke pusat pemulihan Cirque Lodge di Sundance, Utah.
Moore dikatakan mula ketagih whip-its dan mengalami masalah dalam kehidupan peribadinya selepas berpisah dengan suaminya, Ashton Kutcher. Menurut sumber, Moore mengalami insomnia, tidak ada selera makan dan nampak terlalu kurus dan tidak sihat sejak perpisahannya.
Baru-baru ini, Kutcher telah pun memfailkan perceraian daripada isterinya selepas lebih setahun berpisah.
Februari bulan kemunculan artis yang dibenci
Tiada siapa mahu menerima kembali Chris Brown, yang telah membelasah kekasihnya, Rihanna suatu masa dahulu. Jadi ramai yang terkejut apabila bukan sahaja dia diberi peluang oleh Rihanna untuk berduet dalam single terbarunya, malah dia berjaya memenangi Album R&B Terbaik di Anugerah Grammy, malah membuat persembahan sebanyak dua kali di pentas acara gilang-gemilang tersebut.
Tiada siapa mahu menerima kembali Chris Brown, yang telah membelasah kekasihnya, Rihanna suatu masa dahulu. Jadi ramai yang terkejut apabila bukan sahaja dia diberi peluang oleh Rihanna untuk berduet dalam single terbarunya, malah dia berjaya memenangi Album R&B Terbaik di Anugerah Grammy, malah membuat persembahan sebanyak dua kali di pentas acara gilang-gemilang tersebut.
Memburukkan lagi keadaan, Brown naik angin apabila dikritik habis-habisan, lalu mengemaskini akaun Twitter miliknya dengan menulis, "HATE ALL YOU WANT BECUZ I GOT A GRAMMY Now! That's the ultimate F*** OFF!"
Kami masih memikirkan mengapakah dia masih mempunyai peminat setia.
Punca kematian Whitney Houston diketahui pada bulan Mac
Pada 22 Mac, pelantun lagu hit "I Will Always Love You", Whitney Houston disahkan meninggal dunia selepas lemas dalam tab mandinya, yang berpunca daripada efek penyakit aterosklorosis jantung dan penyalahgunaan kokain.
Sebelum itu, pada 11 Februari, dunia dikejutkan dengan berita kematian Houston pada usia 48 tahun apabila dia ditemui tidak sedar diri dalam tab mandi di sebuah hotel di Beverly Hills.
Selepas kematiannya, semua harta Houston diserahkan kepada satu-satunya anak perempuannya, Bobbi Kristina Brown. Kini berusia 19 tahun, Bobbi hanya akan dapat memegang separuh daripada harta ibunya apabila dia berusia 21 tahun.
April adalah bulan malang buat seorang bekas 'It Girl'
Pada bulan April, pelakon komedi wanita, Amanda Bynes bukan sahaja ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk, tetapi juga kerana melanggar kereta polis apabila cuba melepasi kenderaan tersebut.
Dia ditahan pada jam 3 pagi di West Hollywood dan hanya dilepaskan beberapa jam kemudian selepas membayar wang jaminan USD 5000.
Nampaknya kecuali Hilary Duff, semua 'It Girl' awal milenium memiliki kehidupan yang bermasalah.
Bintang "Lost" hilang kawalan pada bulan Mei
Bintang "Lost", Matthew Fox sekali lagi berhadapan masalah dengan peraturan akibat alkohol.
Sembilan bulan selepas dikatakan menyerang seorang pemandu bas wanita dalam keadaan mabuk, dia ditahan di Oregon kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Dikatakan Fox, yang tinggal di bandar Bend, ditahan ketika sedang memandu ke sebuah restoran makanan segera pada jam tiga pagi.
Tiada lagi TomKatie bermula Jun
Ketika mereka bercinta, tiada siapa sangka mereka akan bertahan lama. Namun begitu, pasangan yang mendapat jolokan nama TomKatie membuktikan tanggapan orang lain salah apabila mereka berkahwin pada tahun 2007.
Namun ketika semua orang menyangka pasangan ini akan kekal, Tom Cruise dan Katie Holmes mengumumkan perpisahan mereka selepas lima tahun perkahwinan. Anak mereka, Suri kini di bawah jagaan Holmes.
Sekalipun menjadi perceraian pertama buat Holmes, ini adalah kali ketiga Cruise gagal mempertahankan perkahwinannya selepas perceraiannya dengan Nicole Kidman dan Mimi Rogers.
Kekejaman di bulan Julai
Ketika semua orang ternanti-nanti akan tayangan filem "The Dark Knight Rises", seorang lelaki gila bernama James Holmes telah memasuki sebuah panggung di Aurora, Colorado dan menembak para penonton tayangan perdana filem tersebut.
12 orang terbunuh sementara 50 lagi cedera dalam serangan ganas tersebut. Akibat kejadian itu, pihak produksi "The Dark Knight Rises" membuat keputusan untuk menangguhkan tayangan demi menghormati sensitiviti orang ramai.
Ogos bulan yang indah buat wanita kesayangan Amerika
Pertunangannya bukan sahaja saat yang indah buat Jennifer Aniston, malah ia turut diraikan begitu ramai peminatnya yang selama ini menyokong Aniston dalam susah dan senangnya selepas perpisahan dengan Brad Pitt.
Bintang kesayangan ramai tersebut dilamar oleh kekasihnya, pengarah dan penulis skrip, Justin Theroux selepas bercinta lebih setahun.
Theroux dikhabarkan telah melamar Aniston pada hari jadinya dan amat gembira apabila Aniston bersetuju.
Berita tersebut juga muncul pada minggu yang sama Pitt dan kekasih serta ibu kepada anak-anaknya, Angelina Jolie dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga.
Kebetulan, mungkin?
Seorang lagi bintang berbakat pergi di bulan September
Enam minggu selepas diserang penyakit jantung, bintang "The Green Mile", Michael Clarke Duncan meninggal dunia pada usia 54 tahun.
Dia meninggalkan tunangnya, bintang "The Apprentice", Omarosa Manigault. Hubungan mereka hanya diketahui ramai selepas pemergian Duncan.
Oktober: Nicki lawan Mariah
Nicki Minaj memang pandai mencari kawan, dan pandai juga mencari musuh. Pada bulan Oktober, satu rakaman "American Idol" ditemui di internet, menunjukkan Minaj bertengkar dengan seorang lagi juri rancangan realiti tersebut iaitu Mariah Carey.
Dalam rakaman tersebut, Minaj kelihatan melepaskan geramnya pada Carey dan mengatakan; "Setiap kali awak memperkecilkan saya, saya akan balas balik. Kalau awak ada masalah dengan hal tu, uruskan sendiri."
Dikhabarkan Carey telah meminta kawalan ketat dilakukan di set "American Idol", kerana Minaj dikatakan telah mengancam untuk menembaknya.
Menerusi Twitter, Minaj memberitahu para peminatnya yang dia cuma bergurau, "Kalau saya cakap tentang pistol, semua orang akan percaya hanya kerana saya berkulit hitam."
Empat tuduhan ke atas Lohan di bulan November
Entah di mana silapnya, Lindsay Lohan tidak menjadi lebih baik, malah mengakhiri tahun 2012 dengan empat tuduhan jenayah pada hari yang sama di beberapa wilayah berbeza.
Di New York, polis menahan Lohan atas tuduhan menyerang apabila dia menumbuk seorang wanita di Club Avenue, sementara di Santa Monica, dia didakwa dengan tiga jenayah berpunca dari kemalangan keretanya Jun lalu:
1. Memberi maklumat yang salah kepada pegawai polis (boleh menyebabkan hukuman penjara sehingga enam bulan)
2. Menghalang tugas polis (boleh menyebabkan hukuman penjara sehingga setahun)
3. Pemanduan cuai dan berbahaya (90 hari dalam penjara)
Bila agaknya Lohan akan insaf dan tidak terlibat dalam masalah dengan pihak berkuasa?
Kemaafan di bulan Disember
Selepas menikmati populariti yang mendadak di Amerika Syarikat dengan lagu hit "Gangnam Style", penyanyi rap Korea Selatan, Psy mendapati dirinya dalam kesusahan apabila lagu protes dan kenyataannya pada tahun 2004 yang berbaur anti-Amerika telah dikeluarkan oleh pihak media.
Akibat daripada skandal tersebut, Psy telah mengeluarkan kenyataan meminta maaf, dan menyifatkan liriknya yang agak kontroversi itu sebagai hasil luahan perasaan seorang artis terhadap peperangan di Iraq dan campur tangan Amerika di Korea Selatan.
Permohonan maafnya nampaknya diterima apabila Psy mengadakan persembahan untuk Presiden Barack Obama untuk satu acara.