Headlines News :
Home » , , , » Disebalik mimpi gigi yang tertanggal

Disebalik mimpi gigi yang tertanggal

Written By Unknown on Wednesday, December 26, 2012 | 2:24 PM




KOTA TINGGI: “Seminggu lalu saya bermimpi gigi bahagian depan dan atas serta bawah tertanggal.
Seperti mana yang dikatakan orang, mimpi tersebut membawa erti bahawa kita akan kehilangan seseorang, ternyata hari ini (semalam) ia menjadi realiti,” kata Norshilawati Cinen, 34, dengan nada sebak.

Norshilawati adalah isteri kepada Hamizam Othman, 37, mangsa lemas di Pantai Ramunia Beach Resort ketika cuba menyelamatkan anaknya yang dibawa ombak.

Menurutnya, hanya perasaan pilu yang dapat digambarkan apabila suami yang menjadi tempat bergantung hidup selama ini pergi meninggalkannya serta anak-anak.

Norshilawati berkata, mimpi ganjil yang dialami minggu lalu yang turut merisaukan hatinya ternyata menjadi kenyataan.

“Walaupun anak sulung saya selamat, tetapi saya telah kehilangan orang yang amat saya sayangi,” kata ibu tiga anak itu.

Bagi sepupu mangsa, Nor Azlan Saidin, 41, sebelum kejadian mangsa bersungguh-sungguh mengajak mereka berkelah di pantai berkenaan.

Katanya, ketika itu dia merasa berat hati hendak mengikutnya kerana baru dua minggu lepas telah pergi berkelah di pantai tersebut.

“Dua minggu lalu saya dan enam keluarga lain dalam kira-kira 30 orang termasuk keluarga mangsa berkelah di pantai berkenaan.

"Namun mangsa masih mengajak lagi, arwah bagaikan terpanggil-panggil untuk datang lagi ke pantai tersebut.

“Malah saya yang bermimpi gigi geraham tertanggal dua hari lalu juga tidak menyangka akan membawa petanda kehilangan salah seorang saudara rapat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian berkata, mangsa bersama keluarganya dari Kulaijaya datang ke pantai tersebut semalam untuk berkelah.

Menurutnya, kira-kira jam 12 tengah hari anak mangsa Mohd Sauqi, 14, mula bermandi-manda dan tiba-tiba setengah jam kemudian anaknya telah ditarik ombak ke tengah laut.

“Mangsa yang ketika itu ada di darat melihat anaknya yang terkapai-kapai meminta bantuan terus berlari bersama adik iparnya untuk menyelamatkan anaknya itu.

“Anak mangsa berjaya diselamatkan selepas ditarik ke darat oleh adik ipar mangsa Mohd Farhan, 24 bagaimanapun, ketika itu mangsa pula digulung ombak kuat.

“Kira-kira jam 1.45 petang mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat tidak jauh dari tempatnya lemas,” katanya.

Beliau berkata, anak mangsa yang berada dalam keadaan tidak bermaya dibawa ke Klinik Sungai Rengit untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa di bawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat.
- Sinar Harian
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger