Headlines News :
Home » , , » Siti Saleha Pernah Dilanda Kontroversi Bercinta Dengan Syed Adney

Siti Saleha Pernah Dilanda Kontroversi Bercinta Dengan Syed Adney

Written By Unknown on Thursday, February 7, 2013 | 3:06 PM


Siti Saleha

Lelaki mana yang tidak tertarik dengan kejelitaan yang dimiliki aktres Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum? Bagaimanapun, figura yang bakal muncul menerusi filem Kerat 14, gandingannya bersama aktor tersohor, Aaron Aziz ini mengakui tidak memerlukan perlindungan daripada seorang lelaki dalam kehidupannya.

Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, dalam alam realiti, dirinya tidak sebegitu lemah seperti kebanyakan watak yang pernah dimainkan menerusi drama bersiri TV mahupun filem.

"Saya tidak memerlukan lelaki untuk menjaga ataupun melindungi diri saya kerana saya tidak selemah seperti watak-watak yang pernah saya bawakan dalam drama TV mahupun filem.

"Saya boleh menjaga diri saya sendiri, malah saya juga ada menyertai kelas muay thai sejak tahun lepas lagi sebagai langkah menjaga keselamatan diri," katanya.

Tambah Saleha, untuk menjadi seorang yang sangat lemah-lembut, pemalu, sensitif dan cepat emosi dalam lakonan merupakan satu perubahan karakter yang sangat mencabar bagi dirinya.

"Watak-watak yang diberikan kepada saya adalah sangat kontra daripada karakter sebenar diri saya, kerana saya sebenarnya seorang yang periang, berfikiran terbuka, tidak bergantung kepada lelaki, tegas dan suka berjenaka.

"Jadi untuk menghayati watak-watak yang penuh sifat kewanitaan dan gadis desa merupakan satu perkara yang sangat mencabar dan menguji mutu lakonan saya," katanya.

Masih solo

Menuntut kisah cinta daripada gadis jelita yang pernah dilanda kontroversi bercinta dengan seorang penjaga gol bola sepak, Syed Adney iaitu adik kepada pelakon Sharifah Sofea, Siti Saleha memberitahu, dia masih solo dan sehingga kini tidak mempunyai hubungan dengan siapa-siapa.

"Saya masih solo dan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki. Itu semua gosip. Bukan saya tidak mahu (bercinta), tetapi tiada siapa yang mahukan saya (ketawa)," katanya berjenaka.

Ujar Saleha lagi, dia kini sangat sibuk dengan jadual penggambaran yang padat.

"Saya kini sibuk berlakon untuk drama dan juga filem, jadi isu untuk mengadakan hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki ini tidak menjadi keutamaan saya buat masa ini," katanya.

Selepas berjaya menambat hati para pononton di rumah, kini gadis sunti berusia 23 tahun itu beralih arah ke layar perak dengan filem-filem terbaharu yang bakal menjengah pawagam termasuklah Mamak Cupcake, Bravo, Pencinta, KL Zombie dan Kerat 14 yang bakal ditayangkan pada 14 Februari ini.

Menurut Siti Saleha, dia bagaimanapun akan terus berlakon drama dan tidak tertumpu kepada lakonan untuk filem sahaja.

"Saya akan mengimbangi lakonan saya di televisyen dan juga di pawagam. Bagi saya, itu yang terbaik. Jika saya memilih untuk berlakon di layar perak sahaja, penonton dan peminat saya yang mempunyai kekangan masa untuk ke pawagam mungkin tidak dapat melihat lagi hasil kerja saya. Jadi, saya rasa ia lebih adil buat mereka jika saya teruskan lakonan saya di dalam drama dan juga filem," katanya.

Adik kepada penyanyi kumpulan popular, Shamsul Anuar atau Sam Bunkface itu turut mengakui selepas tiga tahun mencurahkan seratus peratus komitmen dalam kerjayanya, dia kini mula menikmati pulangan setiap keringat yang telah dicurahkan dalam dunia hiburan tanah air.

"Alhamdulillah, pada tahun ini, rezeki saya mencurah-curah, tidak kiralah untuk drama bersiri mahupun filem. Saya sangat menghargai peluang-peluang dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya oleh penerbit-penerbit drama dan filem tersebut.

"Sebagai tanda berterima kasih kepada mereka, saya akan cuba beri yang terbaik sehingga tiba masa saya boleh berbangga dengan pencapaian dan hasil titik peluh saya sendiri," katanya.

Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger