Headlines News :
Home » , » Kesal dengan tindakan sambil lewa pemaju dan MPSJ

Kesal dengan tindakan sambil lewa pemaju dan MPSJ

Written By Zul Fikri on Sunday, February 10, 2013 | 12:20 PM


Seri Kembangan: Lebih sepuluh keluarga di Jalan PUJ 8/10, Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai kesal dengan tindakan sambil lewa pemaju dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menangani masalah tanah runtuh di situ.
Penduduk, Izyan Pashira Mohamed Mohaidin, 30, berkata, kejadian tanah runtuh yang turut meranapkan tembok simen setinggi 10 meter itu berlaku pada 25 Januari lalu, tetapi hingga kini masih tidak dibaiki.
“Lebih mengecewakan apabila tiada kerja pembersihan tanah dilakukan pihak terbabit walaupun sudah lebih dua minggu masalah itu berlaku.
“Memang ada kerja pemotongan pokok yang berisiko tumbang dilakukan MPSJ, tapi lumpur, tanah merah serta tebing simen masih dibiarkan begitu saja,” katanya kepada media di sini, semalam.
Keadaan itu menyebabkan jalan raya di depan rumah penduduk dipenuhi tanah dan tidak dapat dilalui.
Izyan berkata, aduan sudah dibuat beberapa kali kepada MPSJ dan Pejabat Kerajaan Negeri, tetapi jawapan yang diterima mengecewakan penduduk.
“Menerusi e-mel maklum balas, MPSJ mendakwa kerja pembersihan sudah dijalankan, tapi kita sendiri boleh lihat jalan raya di sini masih ditutupi kesan runtuhan,” katanya Selain itu, penduduk, Nazri Zain, 41, menggesa MPSJ dan pemaju agar segera membaiki tembok simen di situ bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.
“Sepatutnya masalah berkaitan bencana alam tidak boleh ditangguhkan dan perlu ditangani dengan cepat. Walaupun mereka menutup kawasan ini dengan kanvas, terdapat jarak yang besar antara kanvas menyebabkan kawasan tanah runtuh masih terdedah dengan hakisan terutama hujan.
“Mungkin dengan kehadiran wakil media baru hari ini (semalam) mereka bertungkus-lumus menjahit kanvas berkenaan bagi memastikan seluruh kawasan tanah runtuh itu ditutup sepenuhnya,” katanya.
Katanya, penduduk mahu campur tangan daripada MPSJ dan pakar pembinaan cerun bagi memastikan pemaju membina cerun di situ mengikut spesifikasi ditetapkan untuk bertahan lama sekali gus menjamin keselamatan penduduk.
Menyingkap kembali kejadian itu, ia berlaku kira-kira jam 4 petang ketika hujan lebat berlaku.
Beberapa penduduk mendengar dentuman kuat sebelum melihat tebing berhampiran rumah mereka pecah dan air lumpur mengalir keluar memenuhi jalan raya.
Kejadian itu menyebabkan sebuah kenderaan rosak teruk akibat dihempap runtuhan tembok simen dan masih tidak dialihkan sehingga kini. Penduduk menganggarkan kerugian mencecah RM 20,000.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk, Zainuddin Zainol berkata pemaju, Talam Corporation Bhd akan membaiki runtuhan itu bermula awal Mac nanti.
“Beberapa hari lalu, saya dihubungi Naib Presiden Kanannya, Tang Bak Hai dan berjanji akan melakukan kerja baik pulih Mac nanti.
“Kawasan itu (Jalan 8/10) baru dibuka dan saya difahamkan tebing berkenaan masih menjadi tanggungjawab pemaju sekiranya berlaku kerosakan. Dianggarkan kerja pembersihan dan pembinaan semula tebing menelan belanja RM300,000,” katanya.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger