Headlines News :
Home » » Kahwin beza usia: Bahagiakah?

Kahwin beza usia: Bahagiakah?

Written By Unknown on Wednesday, February 13, 2013 | 11:47 AM



HUGH Hefner, si 'playboy tua' memilih untuk berkahwin lagi pada usia 86 tahun - Itu antara berita menggemparkan di awal Januari lalu. Wanita muda lebih enam dekad, Crystal Harris, secara rasmi menjadi 'permaisuri' di hati pemilik empayar majalah lucah itu pada 1 Januari lalu.

Ini adalah perkahwinan ketiga Hefner dan menjadi perbualan ramai apabila Harris baru saja menyambut ulangtahun ke-26.

Jarak umur mereka yang berbeza sebanyak 60 tahun juga sudah melayakkan Harris menjadi cucu kepada Hefner tetapi takdir sudah menentukan mereka kini bergelar pasangan suami isteri.

Pasangan yang disatukan dalam suatu majlis bertempat di Playboy Mansion itu sebelum ini pernah mahu berkahwin pada pertengahan 2011 tetapi majlis tersebut terpaksa dibatalkan, Harris 'melarikan' diri lima hari sebelum perkahwinan mereka.

Menurut Harris, pada waktu itu dia terpaksa membatalkan kerana masanya belum tiba untuk dia bergelar Puan Hefner.

"Keputusan membatalkan perkahwinan pada saat-saat akhir kerana saya belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.
"Tetapi kini saya berasa amat bertuah. Dapat berkahwin dengannya dan memegang gelaran Puan Hefner adalah sesuatu yang membanggakan saya," tulis Harris dalam laman Twitter miliknya.

Menurut laman portal www.dailymail.co.uk, Harris yakin untuk meneruskan perkahwinannya dengan bapa kepada empat orang anak itu disebabkan tertarik dengan persona yang dimiliki Hefner.

"Kali ini ia tidak sama seperti dahulu, kami sama-sama yakin bahawa hubungan perkahwinan yang bakal dibina ini akan berjaya dan berkekalan lama.
"Selain itu, tambah menggembirakan lagi adalah tarikh perkahwinan kami yang berlangsung pada hari pertama tahun baru," jelasnya yang ternyata yakin dengan pilihan hatinya itu.

Sementara itu, menurut Hefner pula, dia memilih Harris sebagai isteri ketiganya kerana dia berasa bahagia dan gembira apabila berada di samping wanita cantik itu.

"Jarak perbezaan usia yang jauh antara kami tidak pernah menjadi isu. Buat saya apa yang lebih utama, saya gembira apabila berada bersamanya.
"Tidak kira berapa lama lagi tempoh yang saya miliki untuk hidup, apa yang pasti kami mahu menghabiskan masa tersebut bersama sebagai pasangan suami isteri," katanya.

Cerita antara Hefner dan Harris bukan sesuatu yang asing sebenarnya dalam zaman sekarang.

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kita mendengar kisah perkahwinan antara dua individu yang mempunyai perbezaan umur ketara sama ada di dalam negara mahupun luar.

Persoalan utama kini, apakah perkahwinan yang dibina itu boleh menjamin kebahagiaan?

Apabila latar belakang, cara hidup dan juga minat berbeza yang merentasi zaman di antara dua individu terbabit, apakah ia mampu mencari cinta dalam erti kata sebenarnya?

Persoalan lain lagi, mampukah Hefner memberikan 'segala-galanya' kepada isteri muda ini dalam keadaan usia yang sudah lanjut sebegitu?
Bekas kekasih Hefner, Kristina Shannon sebelum ini pernah mendedahkan bahawa lelaki itu adalah seorang yang pekak kesan daripada pengambilan pil perangsang seks, Viagra.

Barangkali Harris tidak mempedulikan segalanya itu, semata-mata kerana rasa cinta yang membuak-buak terhadap lelaki yang penuh dengan ciri romantis itu.

Tidak asing di Malaysia

Sebenarnya, bukan saja di Hollywood, budaya wanita muda berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia bukan perkara asing di negara ini. Sejak kebelakangan ini kita sering mendengar kisah sedemikian di paparkan di dada-dada akhbar dan siaran televisyen.

Malah budaya tersebut bukan hanya melibatkan individu biasa tetapi turut melibatkan golongan artis yang mana kisah peribadi mereka akan sentiasa menjadi buruan dan tatapan peminat.

Antaranya adalah perkahwinan di antara Anne Ngasri, 28, dan pasangannya Mohd. Sumali Reduan, 41, dengan jarak usia 13 tahun yang baru berlangsung pada Disember tahun lalu.

Turut menjadi tumpuan masyarakat umum adalah perkahwinan di antara wanita berusia dengan lelaki muda seperti ratu rock tanah air, iaitu Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin yang berusia 46 tahun dengan Azhar Husaini Ghazali yang baru berusia 31 tahun.

Selain itu, kisah perkahwinan lain yang turut menjadi tumpuan sebelum ini termasuklah perkahwinan antara Rita Rudaini dan pemain bola sepak, Aidil Zafu; Zizie Ezette bersama Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan Azza Elite dengan Azlan Zulaily dan juga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Mereka adalah sebahagian daripada realiti kisah perkahwinan berbeza usia yang berlaku di Malaysia.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger