Headlines News :
Home » , , » Polis Shah Alam Tolak Dakwaan Anjur Tarian Lucah

Polis Shah Alam Tolak Dakwaan Anjur Tarian Lucah

Written By Unknown on Wednesday, January 9, 2013 | 11:16 AM




SHAH ALAM –  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menafikan pembabitan mereka dalam penganjuran tarian lucah pada Majlis Malam Mesra Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD itu di sebuah hotel di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu kerana difahamkan persembahan yang bakal diadakan berbentuk tarian tradisional.

“Majlis itu bertujuan meraikan pegawai dan anggota yang bakal bersara, tarian yang dipersembahkan untuk majlis itu juga di atas seliaan pihak hotel dan ia merupakan pakej kepada JSJ kerana telah menempah dewan dan makanan di situ,” katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai gambar yang dimuat naik menerusi laman sosial ‘Facebook’, memaparkan tiga wanita berpakaian menjolok mata menari di atas pentas pada majlis tersebut yang hanya dihadiri pegawai dan anggota JSJ IPD itu.

Gambar yang dimuat naik sejak semalam itu turut mendapat maklum balas negatif orang awam.

“Sebagai ketua polis di sini, saya tidak pernah membenarkan mana-mana pegawai dan anggota saya terbabit dengan hiburan seperti itu, perkara tersebut ternyata bertentangan dengan agama dan prinsip PDRM (Polis Diraja Malaysia) sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Zahedi berkata pihaknya telah bersemuka dengan bahagian pengurusan hotel bagi mengetahui bagaimana perkara itu boleh berlaku.
“Saya akan mengambil tindakan susulan selepas ini, saya cuma berharap dengan adanya penjelasan ini ia dapat membersihkan imej kami,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zahedi berkata polis memberkas seorang wanita berusia 29 tahun yang menyamar sebagai pegawai polis di Setia Alam, di sini, semalam.

“Baru-baru ini kami mendapat maklumat dari orang awam berkaitan wanita ini, hasil maklumat, pihak kami menjejaki wanita itu dan menahannya di satu kawasan perumahan di Setia Alam pada 7.45 malam.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan wanita itu, kami menemui sepasang ‘uniform’ polis dan tanda pangkat Inspektor pada uniform itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah dan polis sedang menyiasat motif sebenar suspek berbuat demikian.
“Siasatan juga sedang dijalankan bagi mengesan sekiranya terdapat kes penipuan dan memperdayakan orang awam oleh wanita berkenaan,” katanya. – BERNAMA
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger