Headlines News :
Home » , , , » Bukti Lelaki Malaysia Mampu mengecapi kebahagiaan Bersama wanita Medan

Bukti Lelaki Malaysia Mampu mengecapi kebahagiaan Bersama wanita Medan

Written By Unknown on Sunday, January 6, 2013 | 11:23 AM




Medan Tidak semua lelaki Malaysia gagal mengecapi kebahagiaan berkongsi hidup dengan wanita Medan, sebaliknya mampu menikmatinya asalkan bijak bertindak sebagai ketua keluarga.
Ini dibuktikan pasangan Ismail Othman, 45, yang berasal dari Melaka dan Diana Osman, 39, dari Kampung Tanjung Putus, Kecamatan Padang Tualang, dekat sini.
Diana dan Ismail mendirikan rumah tangga 22 tahun lalu dan dikurniakan dua anak perempuan, Isliana, 18, dan Selina, 10, serta seorang anak lelaki, Mohd Danial, 13.
Ismail berkata, semua ahli keluarganya tinggal di Malaysia dan hanya pulang ke Medan jika ada urusan tertentu atau menyambut lebaran.
Dia yang tidak segan berkongsi cerita mengenai rumah tangganya berkata, pada peringkat awal, hasratnya mendapat tentangan keluarga yang kurang bersetuju dengan tindakannya memperisterikan wanita dari seberang kerana khuatir berdepan pelbagai masalah.
“Sebenarnya saya dua kali putus tunang dengan gadis tempatan sebelum berjumpa isteri. Ketika itu kami bekerja di kilang sama dan bermula dengan usik mengusik, timbul bibit percintaan.
“Saya masih ingat ketika hendak berkahwin, saya yang menguruskan semua urusan daripada perihal keperluan perkahwinan hinggalah urusan imigresen.
“Malah, ketika majlis pernikahan, saya datang ke sini seorang diri dengan hanya berpandukan kepada alamat diberikan isteri,” katanya.
Ketika itu Ismail membawa RM7,000 dan setiba di lapangan terbang pada waktu malam, dia berpura-pura keletihan serta mengaku pernah ke kampung isteri kerana bimbang ditipu pemandu teksi, sedangkan itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Medan.
“Sepanjang perjalanan, saya hanya tidur dan sesekali membuka mata serta membiarkan pemandu teksi bertanyakan alamat kepada orang lain hinggalah saya tiba di rumah bakal mentua,” katanya.
Menurutnya, rumah isterinya jauh dari bandar, malah telegram yang dihantar tidak boleh sampai ke rumah, menyebabkan tiada siapa menjemputnya di lapangan terbang.
“Hanya ada satu telefon di sini, itupun enam kilometer dari sini, dan jika berutus surat, selepas seminggu baru kami dapat meluahkan rasa rindu masing-masing,” katanya.
Menurutnya, ada satu perkara yang dipelajarinya sepanjang berkongsi hidup dengan wanita Medan, iaitu si suami harus mempunyai pegangan agama teguh, selain memiliki kesabaran tinggi kerana jika kedua-dua elemen itu tidak dimiliki, rumah tangga boleh hancur.
“Saya mengahwini isteri kerana tahu dia hidup serba daif dan pasti dia tidak peduli jika kami hidup susah satu hari nanti. Bagaimanapun, segala-galanya berubah kerana selepas berumah tangga, saya dapat rasakan isteri tidak gemar hidup serba kekurangan.
“Apapun, saya bersyukur dengan limpahan rezeki diberikan Allah serta kesabaran dimiliki hingga membolehkan kami bahagia hingga ke hari ini,” katanya.
Menurutnya, ramai rakannya tidak dapat melayari alam rumah tangga dengan wanita Medan bagi tempoh lama kerana mereka akan berubah sikap selepas mempunyai anak dan mula mengejar kemewahan atau hiburan yang tidak dikecapi ketika hidup susah.
Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger