Seorang ibu dua anak yang menjadi miskin selepas kehilangan pekerjaan mendedahkan langkah paling terdesak terpaksa diambil untuk mengelakkan kediamannya daripada dijual.
Pekerja taska, Vickie Robins, 31, mendedahkan dia terpaksa menahan lapar selama beberapa hari supaya dua anak lelakinya, Blake, 3, dan Thomas, 18 bulan, dapat makan dengan secukupnya. Dia sudah hilang 12 kilogram sejak beberapa bulan lalu dan keadaannya sangat lemah serta kerap pengsan di taska tempat dia bekerja secara sambilan. Doktor memberi amaran, dia mungkin berdepan serangan jantung kerana tertekan memikirkan kehidupannya. Vickie dari Quedgeley, Gloucestershire, turut mengambil langkah terdesak dengan menyembunyikan permainan anak supaya mereka boleh mendapat hadiah ketika perayaan Krismas.
“Saya tidak makan selama empat hari dalam seminggu supaya anak saya mendapat cukup makanan,” katanya.
“Suami saya Matthew terpaksa menjual semua barang yang kami ada, termasuk pakaian, barang kemas dan permainan anak. “Kami tidak memasang pemanas di rumah dan hampir kehilangan kediaman ini. Hubungan kami juga semakin tegang,” katanya.
Keluarga Vickie jadi miskin apabila wanita itu hilang pekerjaan sebagai petugas pusat jagaan yang membolehkannya meraih 22,000 pound (RM107,800) setahun pada September tahun lalu. Suami isteri itu mempunyai pendapatan bulanan sebanyak 1,400 pound (RM6,860) daripada kerja sambilan. Matthew bekerja 40 jam seminggu sebagai tukang kebun dan Vickie bertugas 30 jam seminggu di taska.
Mereka membelanjakan 900 pound (RM4,410) untuk ansuran rumah dan bakinya untuk membayar cukai majlis perbandaran, pusat jagaan kanak-kanak dan bil.