Seorang remaja terselamat apabila nekad melompat dari motosikalnya yang dirempuh sebuah kereta ketika dia berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Uban menghala ke Sungai Nibong, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 malam, mangsa berusia 18 tahun ketika itu bersama beberapa penunggang motosikal lain berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah.
Menurut sumber, pada masa sama, seorang lelaki memandu kereta Proton Satria datang dari arah bertentangan dan melanggar lampu isyarat yang masih merah lalu merempuh sebuah Proton Exora.
“Akibat rempuhan itu, proton Exora dipandu lelaki tempatan hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit.
“Mujur seorang remaja sempat melompat dari motosikalnya yang ketika itu turut diseret Proton Exora terbabit dan nyaris merempuh beberapa penunggang lain,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian menahan lelaki yang memandu Proton Satria berkenaan sebelum menghubungi polis.
“Hasil pemeriksaan turut menemui sebotol arak dalam kereta dan dia juga langsung tidak mengingati kejadian itu,” katanya.