Headlines News :
Home » , , » Pengarah Muda belum Bersedia untuk Kahwin

Pengarah Muda belum Bersedia untuk Kahwin

Written By Unknown on Thursday, December 6, 2012 | 4:57 PM



DIA dianggap sebagai antara pengarah muda yang berjaya serta berhasil mengikut jejak langkah bapanya, Datuk Yusof Haslam sebagai seorang pengarah filem yang berkaliber.
Mula duduk di kerusi pengarahan sejak tahun 2008 menerusi filem Evolusi KL Drift, namun kemuncak kepada kerjaya pengarahan dan lakonannya sudah tentu menerusi filem KL Gangster.
Filem itu berjaya mencipta rekod dengan kutipan tertinggi mencecah RM12 juta - jumlah yang masih belum mampu dipecahkan oleh mana-mana filem tempatan sehingga kini.
Sebagai seorang pengarah yang dilihat begitu kreatif dan pakar dalam filem-filem aksi, maka tidak menghairankan apabila dia dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dua tahun berturut-turut pada Festival Filem Malaysia 23 (Evolusi KL Drift 2) dan 24 (KL Gangster).
Kemudian pada tahun ini, Syamsul sekali lagi mencatat kejayaan cukup gemilang apabila meraih lima trofi semasa Anugerah Blockbuster 2012 yang dianjurkan pada bulan Oktober lalu.
Menerusi anugerah yang dipilih 100 peratus menerusi undian orang ramai, Syamsul berhasil membawa pulang trofi untuk kategori Anugerah Filem Terhebat, Anugerah Tuan Direktor dan Anugerah Filem Aksi Terhebat menerusi filem KL Gangster serta Anugerah Filem Takut Terhebat (Khurafat) dan Anugerah Khas PFM.
Namun begitu, di sebalik kejayaan yang telah diraihnya selaku seorang pengarah dan pelakon, ramai yang tertanya-tanya sama ada Syamsul sudah bersedia memikul satu lagi tanggungjawab besar iaitu sebagai seorang suami memandangkan usianya yang kini semakin meningkat.
Persoalan tersebut juga timbul selepas dua wanita yang pernah dikaitkan dalam hidupnya iaitu Diana Danielle dan Liyana Jasmay, masing-masing telah bertemu jodoh.
Diana baru bernikah dengan aktor dan pengarah Farid Kamil, sementara Liyana memilih Fathuddin Mazlan sebagai tunangnya.
Ketika ditemui baru-baru ini, Syamsul hanya tersenyum apabila diajukan persoalan mengenai perancangannya untuk menamatkan zaman bujang.
Sementelah, dia juga telah setahun menjalin cinta dengan seorang penuntut dalam bidang perubatan.
"Saya sudah dapat agak pastinya perkara ini akan ditanya, tetapi secara jujurnya saya masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang walaupun sudah mempunyai kekasih.
"Lagipun apabila berkahwin sudah tentu tanggungjawab yang dipikul akan menjadi lebih besar, sedangkan komitmen saya terhadap kerja masih lagi banyak dan sebab itu soal perkahwinan saya tolak ke tepi dulu," ujarnya serius.
Menurut Syamsul, dia akui sudah beberapa kali didesak untuk mendirikan rumah tangga sehingga adakalanya berasa sedikit tertekan, namun dia tetap memahami hasrat keluarganya yang ingin melihat dia berkahwin.
"Kalau diikutkan bukan ibu dan bapa saya sahaja yang mendesak, malah saudara-mara saya yang lain juga sudah ramai yang bertanya mengenai hal tersebut.
"Bukan saya tidak mahu berkahwin, tetapi saya akan menunggu sehingga saya betul-betul bersedia," jelasnya.
Ketika ditanya sasaran untuk mendirikan rumah tangga, Syamsul memberitahu, dia sendiri tidak berani menyasarkan tantang perkara tersebut, biarpun pernah menyatakan akan berkahwin pada usia 30 tahun.
"Ketika ini saya lebih mengharapkan doa daripada peminat supaya saya lebih terus sukses dengan kerjaya sekarang. Sekiranya semua berjalan lancar, barulah saya akan fikirkan tentang perkahwinan pula," ujarnya.
Berkenaan hubungan dengan kekasihnya yang sudah terjalin sejak setahun lalu, Syamsul berkata, setakat ini percintaan mereka tetap berjalan seperti biasa, meskipun mereka agak jarang berjumpa.
Menurut Syamsul, dia juga sangat beruntung kerana mendapat seorang kekasih yang begitu memahami kerjaya dan komitmen yang dipikulnya sekarang.
"Setakat ini kami masih belum berbincang secara serius tentang mendirikan rumah tangga, malah dia pun faham dengan situasi saya sekarang. Bagi saya, semuanya terserah pada jodoh," ujarnya yang masih enggan mendedahkan identiti gadis yang kini sedang bertakhta di hatinya itu.

Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger