Headlines News :
Home » , , » Keganasan Lionel Messi

Keganasan Lionel Messi

Written By Unknown on Tuesday, December 18, 2012 | 4:37 PM





Lionel Messi meledak gol berganda yang ke-22 pada tahun ini untuk menjadikan angka koleksi peribadinya bagi 2012 kepada 90 gol apabila Barcelona membenam pencabar terdekatnya, Atletico Madrid 4-1 di Nou Camp kelmarin, sekali gus membuka jurang sembilan mata di puncak kedudukan La Liga.

Barca, yang memahat rekod tersendiri dengan mencatat kemenangan ke-15 daripada 16 perlawanan liga setakat ini juga kini 13 mata menjauhi penyandang juara, Real Madrid, yang kempunan tiga mata selepas diikat seri 2-2 oleh Espanyol akibat dibolosi gol lewat di Bernabeu.

Penyerang sensasi Atletico, Radamel Falcao terlebih dahulu mempamerkan belangnya dengan gol pembukaan pada minit ke-31.

Namun, Adriano memimpin kebangkitan tuan rumah lima minit kemudian melalui rembatan kencang jarak jauh sebelum Sergio Busquets menjadikan kedudukan 2-1 sebelum perlawanan berhenti rehat.

Babak kedua ternyata pentas untuk Messi melebarkan rekod jaringan sensasinya dengan merobek gawang pelawat pada minit ke-57 dan ke-88, sekali gus membayangi kehebatan Falcao, yang merupakan penjaring kedua terbanyak La Liga.

Dengan tambahan dua jaringan terbaru itu, Messi, yang memecahkan rekod gol terbanyak dalam setahun miliki legenda Jerman, Gerd Muller (85) minggu lalu, semakin jauh di depan dengan kutipan 25 gol musim ini, diikuti Falcao 17.
"Atletico dan Real akan terus menghambat kami. Memang kami mempunyai kelebihan, namun masih ada baki separuh perjalanan untuk diharungi. Tiada siapa dapat menyangkanya (Barca selesa mendahului tangga teratas), tapi kami harus meneruskan rentak sebegini," kata Busquets.

Kenyataan Busquets itu bagaimanapun tidak sealiran dengan jurulatih Atletico, Diego Simeone.

"Barca berada di kelas tersendiri, jauh mengatasi kami semua. Kami cuba untuk menjadi kompetitif, bermain pada tahap terbaik kami, namun hakikatnya liga ini membosankan.

"Dengan kekuatan yang mereka ada, semuanya bagaikan mustahil. Messi terbaik di dunia. Saya hanya boleh gembira kerana dia juga orang Argentina," ujar Simeone. - AP

Share this post :
 
Support : 8Share lah! | ChurpChurp | Gush Ad lah!!
Copyright © 2014. Echo News Portal - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger