Pengawal Revolusi Iran dilaporkan menawan pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat selepas ia memasuki ruang udara negara itu di Teluk Parsi tetapi segera dinafikan oleh Washington.
Panglima tentera laut Pengawal Revolusi, Laksamana Madya Ali Fadavi, berkata askar Iran menawan pesawat kawalan jauh Scan Eagle yang menceroboh kawasan negaranya.
Pesawat Amerika yang melakukan penerbangan tinjauan dan mengumpul data di Teluk Parsi sejak beberapa hari lalu, ditawan unit pertahanan udara Pengawal Revolusi sebaik ia memasuki ruang udara Iran.
Pesawat kawalan jauh seumpama itu selalunya berlepas dari kapal perang, kata Fadavi.
Jurucakap tentera laut Amerika di Bahrain menolak dakwaan Iran itu dengan berkata tiada pesawat kawalan jauh Amerika yang hilang.
Tentera laut Amerika ada semua pesawat itu yang bergerak di Asia Barat. Operasi kami hanya di kawasan diiktiraf.
Kami tidak ada rekod menunjukkan kehilangan pesawat Scan Eagle, kata jurucakap itu.
Namun rangkaian berbahasa Arab, Al-Alam, menunjukkan dua komander Iran memeriksa apa yang kelihatan seperti pesawat Scan Eagle.
Dalam rakaman itu, dua lelaki berkenaan kemudian menunjukkan peta Teluk Parsi, menjelaskan jalan yang diambil pesawat kawalan jauh itu ketika memasuki ruang udara Iran.
Kami akan pijak Amerika, dicetak di atas peta itu.
Jika benar, rampasan itu adalah kejadian ketiga dilaporkan membabitkan pesawat kawalan jauh kedua-dua negara sejak dua tahun lalu.
Bulan lalu, Iran menuduh pesawat Amerika menceroboh ruang udaranya. Pentagon berkata, pesawat kawalan jauh itu ditembak sekurang-kurangnya dua kali tetapi tidak kena dan Predator berkenaan berada di perairan antarabangsa.