Sangkaan seorang nelayan dia menangkap ikan besar ketika menarik jaring dipasang di Sungai Krian, di sini, kelmarin meleset sebaliknya dikejutkan dengan kelibat seekor buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter.
Zipni Jali, 42, berkata, ketika menarik jaringnya dengan dibantu anaknya, Faizal, 18, dia terasa sesuatu yang berat tersangkut pada peralatan menangkap ikan itu.
Katanya, pada mulanya dia menyangka ikan besar tersangkut pada jaring, namun terkejut apabila melihat seekor buaya katak terjerat dalam jaring berkenaan. “Saya amat terkejut kerana sepanjang umur hidup ini pertama kali buaya terjerat dalam jaring yang saya pasang,” katanya ketika ditemui.
Menurut Zipni, Sungai Krian menjadi lubuk buaya terutama di sekitar Tanjung Kelimah namun setakat ini belum ada kes serangan ke atas penduduk dilaporkan.
Ketika ditanya apa yang dilakukan kepada buaya itu, Zipni berkata, buaya yang masih hidup itu dilepaskan sejurus jaring yang tersangkut pada mulut buaya itu dilucutkan.
Sumber : metro