Perbuatan kebinatangan seorang mekanik yang mendera anak tiri lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas kasihan memakan diri apabila dia diberkas selepas aksi kejamnya itu dirakam menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook.
Suspek berusia 32 tahun tersebut diberkas pada pukul 8 malam kelmarin di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini iaitu tempat di mana kejadian dera itu berlaku. Dia diberkas apabila polis menerima laporan jirannya sejam selepas dia melihat rakaman tersebut.
Difahamkan, ketika serbuan, suspek berada di dalam rumah itu bersama mangsa tetapi isterinya telah melarikan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan pemeriksaan menemui kesan kecederaan dan calar di badan serta kepalanya.
Katanya, polis percaya mangsa telah didera oleh bapa tirinya sejak dua bulan lalu.