ALOR GAJAH: “Saya sangka rumah berdekatan dilanda ribut sebelum terkejut melihat tempat letak kenderaan runtuh menghempap dua motosikal dan sebuah kereta Proton Perdana kami,” kata Shamsul Abdul, 42, semalam.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah terbunuh selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pagar batu dan garaj serta tiga kenderaan di rumah lelaki itu di Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah, dekat sini.
Difahamkan, mangsa, Muhammad Nadzrin Mohd Sahar, 19, yang memandu Proton Waja bersendirian dari Masjid Tanah ke Kuala Sungai Baru, sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan merempuh pagar rumah terbabit.
Akibat kemalangan itu, mangsa yang tersepit dalam kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan badan.
Menurut Shamsul, ketika kejadian dia sekeluarga tidur sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat diselangi deruan bumbung runtuh.
“Saya bergegas keluar dan melihat timbunan bumbung garaj memenuhi pintu depan rumah menghempap tiga kenderaan yang diletakkan di bawahnya.
“ Saya tersentak melihat ada mangsa terperangkap di tempat duduk pemandu dan beberapa penduduk berusaha mengeluarkannya,” katanya di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Penguasa Bomba Kanan II Roshaizad Rabu berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan awam pada jam 3.30 pagi.
“Sejurus lima anggota dan sebuah jentera tiba, mangsa sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan badannya berlipat serta tersepit akibat kedudukan kereta berkenaan yang terbalik dengan empat tayar ke atas.
“Kami menggunakan alat pemotong besi untuk menanggalkan pintu bahagian pemandu yang remuk teruk dan mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang parah,” katanya.